Kerajaan Sabah bincang cuti khas sebelum hari mengundi


  • Politik
  • Khamis, 10 Nov 2022

Hajiji (tengah) ketika merasmikan bangunan baharu Sekolah Menengah Advent, Tamparuli, Kota Kinabalu, Sabah.

KERAJAAN negeri Sabah masih belum memutuskan sama ada akan mengisytiharkan cuti khas pada Jumaat iaitu pada 18 November, sehari sebelum hari mengundi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) seperti yang dilakukan beberapa negeri lain.

Ketua Menterinya, Datuk Seri Hajiji Haji Noor berkata, perkara itu akan dibawa ke Kabinet negeri sebelum sebarang keputusan dibuat.

“Kita akan fikirkan dulu. Jangan tergesa-gesa untuk mengumumkannya,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan bangunan baharu Sekolah Menengah Advent Tamparuli, yang terletak 40 kilometer utara Kota Kinabalu, Sabah pada Khamis.

Katanya, cuti khas sebagai tanda penghargaan juga akan dipertimbangkan selepas pengundian sekiranya gabungan itu memenangi PRU15.

“Kalau kita menang besar di Sabah, kenapa tidak (beri cuti selepas PRU15)?

“Percutian itu akan menjadi ucapan terima kasih kami kepada rakyat dan pengundi yang mahukan keadaan politik dan kerajaan yang stabil,” katanya.

Sebelum ini, beberapa negeri mengisytiharkan 18 November sebagai cuti khas untuk memberi laluan kepada pengundi melaksanakan tanggungjawab mereka dengan lebih mudah.

Negeri-negeri itu adalah Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan. Hari pengundian akan berlangsung pada 19 November.

Sementara itu, Naib Presiden Parti Warisan, Datuk Darell Leiking berkata, kerajaan negeri pimpinan GRS perlu mengisytiharkan cuti umum untuk hari pengundian memandangkan sesetengah sektor masih bekerja pada hujung minggu.

“Kebanyakan orang Sabah bekerja pada hari Sabtu.

"Saya difahamkan ia boleh mengganggu operasi syarikat tetapi pada masa sama ia juga salah untuk menghalang orang ramai daripada dari menggunakan hak mereka untuk mengundi dalam memilih Kerajaan Persekutuan yang akan datang.

"Sehubungan itu, majikan boleh mempertimbangkan untuk menyesuaikan syif mereka bagi membantu mengurangkan sebarang gangguan dalam operasi mereka," katanya. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram