KONGRES Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) mengesahkan menerima aduan mengenai syarikat yang akan memotong gaji jika mana-mana pekerja melebihi tempoh cuti yang diberikan pergi untuk membuang undi ketika Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Setiausaha Agung MTUC, Kamarul Baharin Mansor berkata, kebanyakan syarikat swasta masih belum mengeluarkan sebarang pekeliling berkaitan cuti rehat untuk hari pengundian.
"Kami berharap Kementerian Sumber Manusia akan memantau dan mengambil tindakan terhadap syarikat yang berbuat demikian.
"Hari mengundi adalah hari untuk memperingati demokrasi di Malaysia, kerajaan perlu mengumumkan cuti bagi membolehkan semua pekerja menggunakan hak mereka untuk mengundi," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Kamarul berkata, pengumuman cuti umum sehari sebelum mengundi adalah tidak berfaedah kerana hari mengundi adalah hari bekerja biasa bagi mereka yang berada di sektor swasta.
Jelasnya, walaupun syarikat akan memberi mereka cuti untuk mengundi, masa yang ditetapkan adalah sangat singkat dan menambah tekanan kepada pekerja untuk kembali bekerja.
"Syarikat swasta yang beroperasi pada Sabtu hanya boleh memberi pelepasan untuk mengundi tetapi mereka yang bekerja di bandar tidak dapat pulang ke kampung halaman untuk mengundi kerana kekangan masa.
"Kerajaan harus mengisytiharkan 19 November sebagai hari kelepasan am untuk Malaysia bagi membolehkan pekerja swasta membuang undi dengan selesa," katanya. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram