TINDAKAN dua lelaki yang mencuri sepasang kasut bernilai RM739 di gedung pakaian sukan di pusat beli belah Mid Valley Megamall pada Ahad mengundang perhatian ramai.
Ketika kejadian, kedua suspek itu terlebih dahulu memasuki ke premis berkenaan untuk melihat pakaian yang dijual.
Namun, situasi itu mula berubah apabila salah seorang daripadanya menyorokkan sepasang kasut di bawah rak pakaian di premis itu.
Dirakamkan menerusi kamera litar tertutup (CCTV), insiden itu menerima lebih 43,000 jumlah tontonan setakat ini.
Perbuatan mencurigakan itu mula kelihatan apabila suspek berseluar pendek dan bertopi itu mengeluarkan beg hitam.
Susulan itu, lelaki berkenaan kemudiannya memasukkan kasut tersebut ke dalam beg itu sebelum beredar dari premis tersebut.
Lebih mengejutkan, nilai kasut yang dicuri boleh dikategorikan antara yang termahal dijual dalam premis tersebut dan sekali gus mencetuskan pelbagai kecaman di laman media.
Di ruangan komen, rata-rata warganet mengecam isu tersebut.
“Harap kaki dia sakit bila pakai kasut itu nanti, perbuatan mencuri tak kira la apa barang sekali pun memang tak akan selamat hidup kau,” kata Anis Shafinaz.
“Bila dah terbiasa mencuri, nampak tenang je dia masuk dan bawa keluar kasut itu macam tak ada apa-apa berlaku,” jelas ShahirZack.
“Harga kasut dah macam bayaran bulanan kereta Honda, tak ada rasa bersalah langsung pencuri itu ambil kasut berharga mahal,” tambah Farhanyusuf.
Namun, belum ada sebarang kenyataan daripada pihak polis berhubung kes tersebut setakat ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram