PERGADUHAN dua lelaki di ruangan parkir sebuah pasar raya di Cheng, Melaka Tengah, Melaka, mengundang perhatian ramai apabila seorang remaja dilihat menengking dan mencerca seorang lelaki lebih berusia berpangkat pakcik pada Ahad.
Kejadian itu dikatakan berpunca selepas berlakunya insiden perebutan parkir antara kedua lelaki terbabit.
Difahamkan, remaja berkenaan terlebih dahulu ingin memasuki ruangan parkir tersebut sebelum dirampas lelaki berkenaan yang meluru masuk secara tiba-tiba.
Akibat tidak memberikan lampu isyarat (signal), perbuatan itu nyata mencetuskan kemarahan pemuda tersebut apabila bertindak mencerca lelaki terbabit.
Dikongsikan di laman TikTok, video tersebut menerima lebih 700,000 jumlah tontonan setakat ini.
Berang dengan situasi tersebut, remaja berkenaan dilihat memarahi dan menengking lelaki dewasa itu atas perbuatan yang dilakukan.
Meskipun cuba dihentikan beberapa orang awam, pergaduhan itu masih berlarutan apabila kedua-dua individu terbabit enggan mengalah dan berdamai.
Di ruangan komen, rata-rata warganet mengecam tindakan pakcik tersebut.
“Lampu 'signal' tak bagi tiba-tiba nak ambik parkir orang, siapa je yang tak marah, kalau aku dekat situ memang kena ketuk dah pakcik itu,” kata Madam Hos.
“Aku paling pantang kalau orang jenis merampas parkir ni, lagi-lagi kalau tak bagi lampu isyarat memang sejenis biadab tak tahu malu,” jelas Naksu.
“Kadang-kadang orang tua fikir dia sahaja yang betul, tapi bila kita diamkan diri kena pijak, kalau bersuara pula dituduh kurang ajar, jadi memang aku sokong remaja tu sebab berani bersuara,” tambah Cloudyscent.
Namun, tiada sebarang kecederaan dilaporkan berlaku berhubung kejadian itu, selain difahamkan kedua-dua pihak tidak mengambil tindakan susulan termasuk membuat repot polis. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram