SEBUAH kenderaan jenis Perodua Myvi didakwa hilang kawalan dan merempuh dua pejalan kaki yang melintas di bahu jalan di lebuh raya Jalan Kuching-Serian, Sarawak pada Sabtu.
Insiden itu berlaku selepas kereta terbabit muncul secara tiba-tiba sebelum melanggar mangsa yang melintasi di laluan tersebut.
Kemalangan itu sekali gus mengakibatkan mangsa tercampak di lebuh raya berkenaan selepas dirempuh dengan kelajuan tinggi.
Dirakamkan menerusi kamera dashcam pemandu di situ, video tersebut dikongsikan di laman Facebook.
Berdasarkan rakaman tersebut, kereta berkenaan dipercayai hilang kawalan dan gagal memberhentikan kereta ketika kejadian.
Meskipun mangsa sempat melintas dengan selamat, ada pihak berpendapat tindakan mereka yang berlengah ketika melintas menjadi punca utama kemalangan itu.
Di ruangan komen, warganet meluahkan kecaman berhubung kemalangan tersebut.
“Dah tahu nak melintas jalan kenapa masih berlenggang dan berborak, bila dah kena langgar siapa yang susah,” kata Ejat Jent.
“Ketika melintas jalan, jangan berbual dan bermain telefon tidak kira sama ada kereta masih jauh ataupun dekat, cepat melintas sampai tiba di kawasan selamat,” jelas Tangam Gold.
“Pemandu Myvi itu bawa terlampau laju sampai hilang kawalan, tak pasal-pasal pejalan kaki itu kena langgar walhal mangsa dah selamat melintas,” tambah Shahrulniza.
Belum ada sebarang laporan daripada pihak polis berhubung kemalangan tersebut setakat ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram