[VIDEO] Sampai berdarah kepala guna parang dan steering lock, 2 lelaki gagal kawal nafsu marah


  • 112
  • Ahad, 06 Nov 2022

Tangkap layar memaparkan insiden pergaduhan membabitkan dua lelaki di Ampang pada Jumaat.

HANYA disebabkan salah faham, dua lelaki sanggup bergaduh sampai berdarah kepala dalam kejadian di Kampung Pandan, Ampang, Selangor pada Jumaat.

Terdahulu, tular sebuah video berdurasi satu minit 37 saat sejak Sabtu memaparkan insiden pergaduhan dengan bersenjatakan sebilah parang dan sebatang besi membabitkan dua lelaki di hadapan sebuah kedai.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, pihaknya menerima maklumat orang awam berhubung pergaduhan tersebut.

New IPD Ampang Jaya chief ACP Mohamad Farouk Eshak. — SAMUEL ONG/ The Star.

Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak

"Siasatan mendapati, pergaduhan berlaku membabitkan dua lelaki tempatan berusia 39 dan 60 tahun.

"Kejadian berlaku ketika mangsa berusia 60 tahun itu memandu kereta sebelum berselisih faham dengan seorang penunggang motosikal berusia 39 tahun," katanya kepada Majoriti.

Kata Farouk, akibat kejadian, berlaku pergaduhan antara mereka dengan menggunakan senjata.

"Antara yang digunakan termasuk sebatang kayu golf, sebilah parang dan sebatang pengunci stereng (steering lock).

"Pergaduhan tersebut menyebabkan mangsa berusia 60 tahun yang bekerja sebagai wireman mengalami kecederaan parah. Mangsa patah tangan kanan, luka kedua-dua belah tangan dan mengalami pendarahan otak.

"Sementara suspek cedera pada bahagian kepala. Kedua-dua lelaki terbabit telah mendapatkan rawatan di Hospital Ampang," jelasnya.

Tambah Farouk, suspek yang juga seorang peniaga di sekitar Ampang telah ditahan pada hari kejadian.

"Polis turut merampas pakaian dan sebatang besi yang digunakan suspek.

"Suspek juga didapati positif dadah jenis syabu dan benzodiazepine. Semakan mendapati, suspek mempunyai empat rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah," katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan parah dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.— Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram