[VIDEO] Anak hampir diculik, ibu tengking suspek selepas tertangkap di Bukit Kerinchi


  • Tular
  • Jumaat, 04 Nov 2022

Tangkap layar menunjukkan seorang lelaki didakwa cuba menculik kanak-kanak, dimarahi salah seorang ibu mangsa.

SEORANG lelaki yang didakwa cuba menculik kanak-kanak di Lembah Pantai, Bukit Kerinchi, Kuala Lumpur berjaya ditemui oleh ibu mangsa pada Jumaat.

Penemuan itu sekali gus merungkai segala persoalan dan ketakutan yang bermain di fikiran wanita berkenaan selepas anaknya kerap diekori individu tersebut, seperti mana yang tular di TikTok.

Terdahulu, lelaki terbabit didakwa telah mengganggu dan cuba mendekati anaknya ketika di luar sekolah.

Susulan dakwaan tersebut, wanita berkenaan telah cuba untuk menjejaki suspek sejak beberapa hari lalu sebelum berjaya menemuinya di sebuah pangsapuri sekitar Bukit Kerinchi, Kuala Lumpur.

Berdasarkan video tersebut, wanita berkenaan dilihat menengking dan memarahi pemuda itu atas gangguan yang dilakukan terhadap anaknya.

Soalan demi soalan ditujukan kepada pemuda tersebut bagi merungkai motif dan perbuatan yang cuba dilakukan.

Selain mengekori rapat, lelaki itu juga dipercayai pernah memegang tangan kanak-kanak tersebut.

Ketika disoal mengapa dia berbuat demikian, pemuda terbabit memberitahu bahawa dia menyukai kanak-kanak tersebut.

Di ruangan komen, rata-rata warganet mengecam perbuatan lelaki terbabit.

“Seram betul tengok dia bagitahu yang dia sukakan budak itu, macam tak ada apa-apa berlaku, lelaki itu ada ibu bapa ataupun tidak," kata MommyAufa.

“Macam kurang siuman, dia bercakap tetapi tak pandang mata dan suara pun terlalu perlahan, semoga kita sentiasa dilindungi daripada perkara buruk," jelas Farhananosha.

“Bahaya betul ada orang macam itu, laporkan segera kepada pihak polis, jangan esok dia ganggu anak gadis kita pula," tambah Mohdsyahfiq.

Difahamkan, laporan polis telah dibuat oleh wanita berkenaan dan siasatan lanjut akan dijalankan dalam masa terdekat.

Majoriti sedang berusaha mendapatkan komen lanjut ibu mangsa bagi mendapatkan gambaran sebenar kejadian. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram