[VIDEO] Pelajar sekolah Miri acah-acah buat 'drift' guna Alza, 'last-last' rempuh kedai


  • Tular
  • Jumaat, 04 Nov 2022

Tangkap layar menunjukkan seorang remaja lelaki merempuh sebuah kedai selepas memandu Perodua Alza secara merbahaya di Miri, Sarawak pada petang Jumaat.

TINDAKAN dua remaja lelaki dipercayai pelajar sekolah yang memandu kereta jenis Perodua Alza mengundang padah apabila mereka terbabas lalu merempuh sebuah kedai di Miri, Sarawak pada Jumaat.

Kejadian itu dilaporkan berlaku apabila salah seorang daripada remaja terbabit memandu dalam keadaan berbahaya di laluan tersebut.

Remaja berkenaan difahamkan cuba melakukan aksi 'drift' ketika di selekoh jalan raya namun malang menimpa mereka apabila kereta yang dipandu hilang kawalan.

Dikongsikan di laman Facebook, insiden itu hangat diperkatakan netizen apabila mula tular sejak petang Jumaat.

Susulan pelanggaran itu, kereta berkenaan mengalami kerosakan teruk di bahagian hadapan apabila lampu dan bumper dilihat pecah.

Kedua remaja tersebut dipercayai masih di bangku persekolahan, ia sekali gus menimbulkan persoalan netizen berkenaan status lesen mereka.

Di ruangan komen, rata-rata netizen mengecam perbuatan remaja berkenaan.

“Dia nak cuba buat 'drift' tapi tak menjadi, sampai terbabas langgar kedai," kata Cik Mai.

“Dasar budak sekolah, lesen pun entah ada ataupun tidak, berangan nak bawa kereta macam orang dewasa, bila berlanggar ibu bapa juga kena baiki kereta," jelas Amar Dani.

“Kalau nak bawa jangan la pandu dengan berbahaya, lesen tak ada lagi nak buat masalah, ini mesti pengaruh filem terlampau banyak," tambah Nurhayati Jali.

Namun, tiada kecederaan serius dilaporkan terjadi berhubung insiden tersebut. Belum ada kenyataan pihak berkuasa berhubung insiden itu setakat ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram