TINDAKAN seorang individu memandu dalam keadaan mengundur di jalan raya dekat Pasir Gudang, Johor Bahru di Johor, pada Khamis mengundang perhatian ramai.
Ketika kejadian, kenderaan jenis Perodua Myvi itu dilihat mengundur dengan laju di laluan tersebut sambil diperhatikan pemandu lain.
Dirakamkan menerusi kamera papan pemuka, insiden itu menerima lebih 200 perkongsian di laman Facebook dan hangat diperkatakan netizen.
Susulan tindakan pemandu itu, beberapa kenderaan lain terpaksa mengekori kereta tersebut dalam jarak rapat di lorong tengah laluan berkenaan.
Meskipun perbuatan itu boleh mendatangkan bahaya, kereta terbabit dilihat masih meneruskan perjalanan tanpa sebarang halangan walaupun ditegur pemandu lain.
Identiti pemandu tersebut menjadi tanda tanya ramai susulan tingkap keretanya terlampau gelap dan sukar dikenal pasti.
“Besar kemungkinan gear kereta dia bermasalah hanya boleh mengundur, daripada tidak bergerak lebih baik jalan mengundur, kira positif la," kata Mohd Hafis.
“Nak sangat tahu rupa dan jantina pemandu, kalau perempuan memang tercabar semua pemilik Myvi dibuatnya," ujar Hafiz Rohaidi.
“Myvi memang selalu sangat buat masalah, kalau bukan bab kemalangan, mesti melibatkan perkara pelik macam dalam video itu," jelas Ng Jie Wen.
“Apa pula penyakit pemandu Myvi itu, elok boleh jalan terus dia pergi mengundur, kotak gear rosak ke macam mana tu," tambah Irwan Mokhtar.
Belum ada sebarang maklumat terperinci berkenaan isu tersebut setakat ini dan pihak polis masih tidak mengeluarkan sebarang kenyataan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram