PRU15: Pengundi dah muak dengan perbalahan politik — Pakar


  • Politik
  • Jumaat, 04 Nov 2022

Drama politik semakin kemuncak selepas pengumuman calon yang akan bertanding pada PRU15 kali ini.

KEMELUT politik yang melanda negara terutamanya menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) menyaksikan rakyat mula meluahkan rasa jelik dan bosan terhadap pergolakan yang berlaku.

Drama politik semakin mencapai kemuncak selepas pengumuman nama calon yang menyaksikan ahli Parlimen bertaraf Heavyweight digugurkan daripada bertanding baru-baru ini.

Pelbagai pihak termasuk calon itu sendiri mula meluahkan pandangan masing-masing berhubung isu yang berlaku di media sosial.

1794468

Ia secara tidak langsung memaparkan sikap sebenar ahli politik dalam memperjuangkan nasib rakyat atau hanya untuk kepentingan diri sendiri.

Menurut penganalisis politik, Dr Tawfik Yaakub, ahli politik mengambil kesempatan ketika waktu 'kecederaan' untuk meneruskan survival politik mereka.

"Bagi saya, tindakan ahli politik seperti melompat parti adalah memalukan dan tidak bermaruah kerana menggadaikan prinsip serta memanipulasi kebebasan demokrasi.

"Pengundi juga bukan sekadar muak tetapi bosan dengan tindakan ahli politik yang masih tidak berhenti bercakaran antara satu sama lain," katanya kepada Majoriti.

tawfik

Dr Tawfik Yaakub

Dakwa Tawfik, keadaan ini sudah berlarutan lebih dua tahun lalu yang tercetus akibat keruntuhan kerajaan Pakatan Harapan dalam apa yang dikenali sebagai Langkah Sheraton pada Februari 2020.

"Saya berpendapat, pengundi akan menghukum dan menghumban calon yang pernah mencetuskan masalah termasuk menyebabkan kekalutan politik di negara ini.

"Pengundi juga berpotensi mengambil langkah untuk tidak keluar mengundi sebagai tanda protes dan ini akan mengakibatkan peratusan keluar mengundi di bawah 70 peratus di sesetengah kawasan pilihan raya.

"Peratusan undi rosak juga dijangka lebih tinggi pada PRU kali ini berikutan protes pengundi disebabkan kemelut yang melanda," jelasnya.

Celeration of 60th Merdeka day 2017 in Dataran Merdeka. .- Art Chen / The Star.

Rakyat mula meluahkan pandangan mengenai situasi semasa politik ketika ini.

Berikut antara luahan pengundi terhadap kemelut politik yang melanda pada ketika ini:

1. KECEWA

Kebanyakan pengundi mula meluahkan kekecewaan selepas terdapat segelintir ahli politik lebih fokus terhadap survival politik masing-masing sehingga ada yang lupa tugas sebenar untuk berkhidmat untuk rakyat.

"Saya agak kecewa melihat situasi semasa politik sekarang kerana ada antara mereka lebih mementingkan jawatan sehingga ada yang sanggup bertukar parti sedangkan rakyat masih terhimpit dengan banyak masalah," kata Aliya.

"Kita dapat lihat bermacam-macam strategi yang digunakan parti politik namun saya merasakan ia lebih bersifat kepentingan peribadi berbanding untuk rakyat," jelas Kamal.

1478808

Pengundi mahu ekonomi negara kembali stabil selepas ditimpa wabak Covid-19.

2. KESTABILAN EKONOMI

Sejak negara berdepan kemelut politik berpanjangan sejak PRU14, rakyat dipertontonkan dengan drama politik yang tiada kesudahan dan memberi kesan yang tidak baik kepada ekonomi negara apatah lagi dengan krisis kesihatan yang dihadapi.

"Sebagai rakyat biasa, saya hanya berharap dapat hidup dalam keadaan ekonomi yang baik. Kita sudah tertekan dengan wabak Covid-19 dan kini ditambah beban dengan ekonomi. Ini bukan masanya untuk bertelingkah," jelas Ruzailina Yatim.

"Ekonomi negara dan nasib rakyat harus diutamakan kerana ramai yang terhimpit dengan masalah kewangan sejak Covid-19 melanda," kata Ridhuan.

553

Rakyat saling membantu antara satu sama lain ketika bencana berlaku.

3. PERPECAHAN

Orang ramai berpendapat berlaku perpecahan dalam masyarakat dan parti politik berikutan tiada kesefahaman antara satu sama lain.

"Kita dapat lihat apa yang berlaku sekarang, banyak parti ditubuhkan dan rakyat mula berpecah mengikut parti yang disokong mereka. Pada masa sama, lebih banyak adegan tuding jari berbanding saling bekerjasama antara satu masa lain," kata Ahmad.

"Ketika negara dilanda musibah, rakyat sendiri mengambil inisiatif untuk membantu antara satu sama lain. Perkara ini sepatutnya membuka mata ahli politik dan bukan menunggu mengeluarkan 'taring' apabila PRU tiba," luah Lisa.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini menetapkan 19 November 2022 sebagai hari pengundian bagi PRU15 dan tempoh berkempen selama 14 hari.

Sementara itu, tarikh penamaan calon dan pengundian awal masing-masing ditetapkan pada 5 dan 15 November 2022.— Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram