Tanding calon Bebas di Batu, PKR akan pecat Tian Chua — Anwar


  • Politik
  • Sabtu, 05 Nov 2022

Anuar akan memecat Tian Chua disebabkan bertanding atas tiket Bebas pada PRU15.

BEKAS Ahli Parlimen Batu Chua Tian Chang atau lebih dikenali sebagai Tian Chua akan dipecat disebabkan tindakannya bertanding di kawasan tersebut atas tiket Bebas pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, veteran PKR itu tidak sepatutnya bertindak demikian.

“Mengikut dasar PKR, mereka yang bertanding sebagai calon Bebas atau memilih untuk meninggalkan parti atas apa jua sebab secara automatik akan dipecat,” jelasnya.

PRU15

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas pengumuman calon oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi Parlimen Tambun yang ditandingi beliau di Institut Latihan Perindustrian (ILP) Meru di Ipoh, Perak pada Sabtu.

Terdahulu Tian Chua dilaporkan bersedia menghadapi sebarang tindakan terhadapnya kerana bertanding sebagai calon Bebas di kerusi Parlimen Batu menentang calon parti sendiri P. Prabakaran yang mewakili Pakatan Harapan (PH).

Bekas Naib Presiden PKR itu menyerahkan borang pencalonan pagi tadi untuk merampas kembali kerusi Parlimen Batu yang diwakilinya selama dua penggal dari 2008.

Pada PRU 2018, Prabakaran yang bertanding sebagai calon Bebas memenangi kerusi itu, kemudian menyertai PKR dan kini berdepan sembilan lagi calon untuk mempertahankan kerusi Parlimen Batu itu pada PRU15. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram