PRU15: Borang pencalonan 4 kerusi Parlimen, 2 DUN ditolak SPR


  • Politik
  • Sabtu, 05 Nov 2022

SPR mengesahkan enam borang pencalonan ditolak.

SEBANYAK enam borang pencalonan Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15) ditolak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada Sabtu.

Menurut Pengerusinya, Tan Sri Abdul Ghani Salleh, enam borang pencalonan yang ditolak itu melibatkan empat bagi kerusi Parlimen dan dua bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Bagaimanapun, Abdul Ghani tidak menjelaskan lebih lanjut berkenaan penolakan tersebut.

Sementara itu, Abdul Ghani turut memaklumkan Parlimen Batu mencatatkan jumlah pertandingan tertinggi dalam PRU15 yang melibatkan 10 penjuru.

"Manakala bagi pertandingan di DUN memperlihatkan pertandingan paling tinggi di N47 Chenderiang, Perak iaitu tujuh penjuru," katanya.

Abdul Ghani berkata, Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Bugaya, Sabah juga menyaksikan pertandingan tujuh penjuru.

Jelasnya, tempoh berkempen bermula selepas pengisytiharan pilihan raya dipertandingkan oleh pegawai pengurus sehingga pukul 11.59 malam pada 18 November.

SPR menetapkan hari pengundian PRU15 pada 19 November dan pengundian awal pada 15 November. —The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram