TINDAKAN seorang pencuri yang memecah masuk sebuah rumah di Taman Adika Phase 11, Keningau, Sabah akhirnya tertangkap selepas suspek berjaya diberkas orang awam, dalam kejadian disyaki berlaku pada Isnin.
Suspek terlebih dahulu dipercayai memecah masuk ke sebuah rumah sebelum melarikan diri dengan kenderaan jenis Perodua Bezza.
Cuma malang tidak berbau, pencuri terbabit dilaporkan kemalangan selepas melarikan diri dari lokasi kejadian.
Susulan kemalangan tersebut, suspek kemudiannya ditahan dan dipukul seorang lelaki, dipercayai saksi kejadian.
Dikongsikan di laman Facebook, insiden berkenaan menerima lebih 70,000 jumlah tontonan setakat ini.
Berdasarkan video tersebut, suspek diikat pada sebuah tiang lampu elektrik dan tidak sedarkan diri ketika disoal siasat.
Kemalangan yang berlaku telah mengakibatkan kerosakan teruk di bahagian belakang dan hadapan kereta terbabit dan punca pelanggaran masih belum diketahui setakat ini.
Difahamkan, pencuri berkenaan kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut.
Di ruangan komen, warganet turut mengecam perbuatan lelaki tersebut.
“Memang patut diberi pengajaran sebelum serah kepada polis, pencuri seperti ini yang mendatangkan ketakutan kepada masyarakat kerana boleh bertindak luar kawalan,” kata Steven Athur Chee.
"Tuhan bayar cash!" tulis Like Heart.
“Badan sihat semua sempurna tapi tidak mahu bekerja, memang bagus kena bantai dulu dengan orang awam sebelum diserah kepada polis,” jelas Larrie Nitul.
“Kalau pencuri itu terlepas boleh jadi lebih bahaya, mujur dia kemalangan dan orang awam dapat menangkapnya,” tambah Zafrielshah.
Belum ada sebarang kenyataan daripada pihak polis berhubung kes terbabit setakat ini, sementara nasib perompak terbabit juga belum diketahui. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram