[VIDEO] Suspek pura-pura pekak selepas kantoi dituduh mencuri di Time Square


  • Tular
  • Selasa, 01 Nov 2022

Tangkap layar menunjukkan seorang wanita yang ditangkap mencuri di sebuah pusat beli belah Berjaya Time Square, Kuala Lumpur baru-baru ini.

PERBUATAN mencuri dilakukan seorang wanita di pusat beli-belah Berjaya Time Square, Kuala Lumpur menemui jalan buntu apabila dia ditangkap pemilik asal barangan tersebut.

Kejadian itu yang dikongsikan di laman TikTok peribadi @dullunna, memaparkan insiden kecurian yang dialaminya baru-baru ini selepas barang kepunyaannya diambil oleh suspek.

Meskipun pencuri berjaya melarikan diri, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di premis berkenaan berjaya membantu si pemilik untuk menjejaki suspek semula.

Menerima lebih dua juta tontonan, rakaman itu menerima pelbagai reaksi daripada warganet.

Kronologi kecurian itu bermula apabila si pemilik tanpa sengaja meninggalkan beg plastik berisi baju kepunyaannya di sebuah premis niaga di komplek beli-belah berkenaan.

Susulan kecuaian tersebut, pencuri berbaju putih dan kasut hitam itu kemudiannya dilihat terus mengambil dan melarikan beg plastik berkenaan.

Namun, suspek berjaya ditemui selepas ditangkap berehat di sebuah kerusi berhampiran surau pusat beli-belah berkenaan.

Meskipun disoal beberapa kali, pencuri terbabit difahamkan masih berkeras dan enggan memulangkan barang yang diambil.

Memuat naik video penjelasan, mangsa berkata, suspek berpelakuan biadab dan berpura-pura seperti tidak bersalah dan tidak mendengar penjelasannya ketika kejadian.

“Banyak kali saya jerit-jerit minta dia pulangkan barang tapi dia buat muka tak bersalah dan tenang membalas dalam bahasa yang tidak difahami.

“Memang terbukti dia yang curi barang saya, kenapa tak nak mengaku daripada awal kan senang.

“Saya tak kisah pun nak hilang barang itu sebenarnya tetapi perangai dia memang menyakitkan hati,” katanya.

Insiden itu dilaporkan berakhir dengan baik selepas suspek memulangkan semula barang yang diambil hasil bantuan pekerja di premis niaga berkenaan.

Tiada laporan polis dibuat berhubung kes tersebut dan kedua pihak dilaporkan bersetuju untuk berdamai. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram