[VIDEO] Selepas 3 kali curi bahan kek, suspek akhirnya dicekup penduduk Keningau


  • Tular
  • Selasa, 01 Nov 2022

Tangkap layar menunjukkan seorang pencuri lelaki ditahan selepas ditangkap mencuri di sebuah pasar raya di Keningau, Sabah.

TINDAKAN seorang lelaki mencuri bahan kek di Pasar Raya Bataras, Keningau, Sabah pada Isnin berjaya dibongkar penduduk apabila suspek ditangkap di lokasi kejadian.

Susulan tangkapan itu, suspek berbaju putih dan berseluar pendek itu mengalami kecederaan ringan di belakang badannya selepas bajunya koyak akibat direntap penduduk di situ.

Insiden itu dikongsikan di laman Facebook dan hangat diperkatakan warganet.

Difahamkan, ia merupakan kali ketiga lelaki terbabit mencuri di pasar raya berkenaan dan selepas beberapa kali berjaya meloloskan diri, kegiatan suspek akhirnya dihidu pihak pengurusan.

Meskipun dilihat cuba melepaskan diri, suspek kemudiannya diheret sehingga terjatuh ke jalan tar sebelum diserahkan kepada polis untuk siasatan.

Di ruangan komen, rata-rata warganet mengecam tindakan lelaki tersebut.

"Nampak seperti seorang yang berkemampuan kerana masih memiliki kereta, mungkin dia dalam kesusahan namun tindakan mencuri tetap satu kesalahan," kata Fewinses.

"Sekali buat mungkin akan terlepas dan dimaafkan, tetapi sampai tiga kali dia mencuri memang patut dipukul dan diserahkan kepada pihak polis," jelas mohamadyunus6352.

"Tiga kali dia mencuri, itu sudah dikira melampau dan perbuatannya memang tidak boleh dimaafkan, tetapi tidak bermakna orang ramai boleh menghukum sesuka hati," tambah Najmiearman.

Belum ada sebarang kenyataan rasmi daripada pihak polis setakat ini dan Majoriti sedang berusaha mendapatkan maklum balas daripada pengurusan pasar raya berkenaan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram