[VIDEO] Peniaga 'bundle' mengamuk kena tipu, dakwa rugi cecah RM36,000


  • Tular
  • Sabtu, 29 Okt 2022

Tangkap layar menunjukkan seorang lelaki menengking wanita dipercayai wakil pengurusan acara jualan di The Mines, Seri Kembangan, Selangor.

BEBERAPA peniaga pakaian terpakai terpaksa menanggung kerugian sehingga puluhan ribu ringgit apabila tapak perniagaan mereka diarahkan tutup kerana tidak mendapat kelulusan daripada penguatkuasa.

Bertempat di pusat beli belah di Seri Kembangan, Selangor, acara jualan pakaian terpakai itu dijadualkan berlangsung selama dua hari bermula 29 Oktober hingga 30 Oktober.

Namun, kegagalan pihak pengurusan mendapatkan lesen permit didakwa sebagai satu penipuan apabila duit pendaftaran peniaga telah dikutip seminggu lebih awal.

Terkesan dengan situasi itu, salah seorang peniaga dilihat mula hilang sabar apabila bertindak menengking dan mencerca wakil wanita daripada pengurusan terbabit.

Kejadian itu dikongsikan di laman TikTok dan mengundang kecaman ramai.

Difahamkan, kesemua peniaga telah mula membuka tapak jualan masing-masing sebelum didatangi oleh Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) secara tiba-tiba.

Situasi lebih keruh apabila pihak pengurusan dikatakan belum membuat sebarang permohonan permit niaga di pusat beli belah tersebut walhal, kutipan pendaftaran tapak jualan sudah diterima.

Memuat naik penjelasan secara langsung di akaun TikTok peribadi, salah seorang mangsa penipuan yang dikenali sebagai Nila memberitahu, pihak peniaga langsung tidak dimaklumkan soal permit.

“Kami hanya tahu datang ke sini dan buka tapak jualan selepas yuran pendaftaran sudah dibayar.

“Tapi bila aktiviti jualan sudah mahu bermula, penghawa dingin masih belum dihidupkan dan kami sudah pelik kenapa ia berlaku sedangkan ini merupakan acara jualan yang besar.

“Bila diarahkan untuk tutup, baru tahu yang pengurusan tidak buat permohonan permit dan duit kami semua lesap,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai jumlah kerugian dialami, ada yang terpaksa menanggung kos sebanyak RM36,000 kerana baru sahaja membeli stok baju secara pukal.

“Satu tapak berharga RM900 dan biasanya peniaga akan sewa dalam tiga tapak dan di situ kami sudah kerugian hampir RM2,700.

“Ada yang rugi sampai puluhan ribu sebab beli stok baju baharu secara pukal.

“Rata-rata penjual dekat sini sekarang dalam bank tinggal duit dalam RM30 dan RM40 sahaja,” tambahnya.

Difahamkan, laporan polis belum dibuat oleh kesemua mangsa penipuan dan mereka masih berunding serta menyelesaikan isu tersebut secara baik. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram