KES curi tabung masjid semakin berleluasa kebelakangan ini dan pencuri dilihat semakin berani serta licik dalam menjalankan kegiatan tersebut.
Situasi itu boleh digambarkan menerusi kejadian di Masjid Al-Amin Butterworth, Pulau Pinang pada Khamis apabila pencuri dilihat menggunakan mesin grinder untuk mencuri duit tabung.
Dirakamkan menerusi kamera litar tertutup (CCTV), pencuri terbabit dipercayai menyelinap masuk ke masjid berkenaan selepas tidak dikawal oleh mana-mana penjaga di situ.
Berdasarkan video tersebut, pencuri itu kelihatan cemas apabila beberapa kali memantau keadaan sekeliling bagi memastikan gerakannya tidak diperhatikan.
Selepas menghidupkan suis mesin, lelaki berkenaan kemudiannya terus memotong tabung tersebut untuk mengambil wang di dalamnya.
Namun, perbuatannya terhenti apabila dia dilihat melarikan diri tidak lama kemudian, dipercayai ada jemaah yang memasuki masjid tersebut.
Masih belum ada sebarang kenyataan daripada pihak polis berkaitan kes itu dan Majoriti sedang berusaha mendapatkan maklumat dari pihak pengurusan masjid berkenaan.
Di ruangan komen, netizen turut mengecam berhubung kejadian itu.
“Makin hebat pencuri sekarang, siap bawa mesin grinder untuk curi duit tabung masjid, sudah la pakai tenaga elektrik masjid, mencuri pula lagi,” kata Rodhirahidan.
“Ni mesti dah terbiasa buat guna taktik sama, percubaan pertama berjaya terus buat kali kedua sebab tu dia berani,” jelas nabrasbm.
“Bila dah terdesak sanggup lakukan apa sahaja, minta bantuan lambat kena isi banyak borang, itu yang ambil jalan mudah mencuri,” tambah Pangeran MyK. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram