"SETIAP kali hujan lebat melanda, kami mula bimbang kerana takut rumah akan dinaiki air dan merosakkan harta benda," itu luahan Ketua Penduduk Kampung Chubadak, Sentul, Kuala Lumpur, Syed Mashor Syed Mustapha kepada Majoriti.
Kata Syed Mashor, 60, kejadian banjir sering berlaku sekiranya hujan lebat berterusan melanda dalam tempoh dua jam.
Syed Mashor Syed Mustapha
"Bayangkan, air akan naik sehingga ke paras lutut dan banyak barang rosak selepas dimasuki air. Hampir setiap tahun kejadian ini berlaku sejak tiga tahun lalu.
"Tahun ini sahaja sudah dua kali banjir kilat berlaku di kawasan ini berbanding tahun lalu sebanyak tiga kali. Kejadian pertama berlaku pada awal tahun dan yang terbaharu pada Ogos lalu.
"Kawasan kampung ini ada 120 buah rumah dan dianggarkan terdapat 300 orang penduduk yang terpaksa mengharungi masalah banjir ini," katanya kepada Majoriti.
Masalah banjir berlaku setiap tahun dan air boleh naiki sehingga paras lutut.
Kata Syed Mashor, kejadian banjir dipercayai berpunca dari masalah perparitan yang tersumbat dan sempit akibat pembinaan perumahan di kawasan bersebelahan.
"Apabila pembinaan rumah ini dilakukan, masalah perparitan mula berlaku. Air yang sepatutnya mengalir ke Sungai Gombak tidak dapat menampung sehingga mengalir ke kampung kami.
"Malah, permukaan jalan yang teruk juga menyusahkan penduduk di kawasan ini. Sudahlah kerap dilanda banjir, jalan pula teruk dan tiada pihak yang mahu bertanggungjawab menyelesaikan perkara ini," jelasnya.
Keadaan banjir yang berlaku di salah sebuah rumah di kawasan tersebut.
Tambah Syed, penduduk juga agak kecewa dengan sikap pihak yang sepatutnya bertanggungjawab membantu penduduk dalam masalah ini.
"Saya sendiri sudah turun naik sebanyak tiga kali di pejabat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di Jalan Raja Laut dan cawangan Batu dengan membawa surat serta bukti namun masih tiada penyelesaian.
"Mereka memberi alasan bahawa kawasan tersebut berada di tanah pemaju dan harus meminta kebenaran pemaju untuk menyelesaikan perkara tersebut.
"Kami semua agak kecewa dengan jawapan yang diberikan dan dengan siapa harus kami meminta bantuan. Musim Monsun Timur Laut dah semakin hampir, apa yang kami harus lakukan dan adakah kami terpaksa hadapi masalah ini sehingga ada nyawa yang terkorban," katanya.
Keadaan surau yang dinaiki air akibat hujan lebat berterusan dalam tempoh dua jam.
Sementara itu, salah seorang penduduk, Khairol Faddil, 39, berkata, penduduk kawasan tersebut sudah buntu untuk meminta pertolongan dari pihak yang bertanggungjawab.
"Apa lagi yang boleh kami lakukan, aduan sudah dilakukan namun tiada penyelesaian. Sebelum ini ada pegawai DBKL yang hadir untuk memantau tapi tiada apa-apa yang dilakukan.
"Saya difahamkan terdapat ahli Parlimen yang datang tapi tidak boleh melakukan apa-apa berikutan tanah berada di kawasan milik pemaju," jelasnya.
Tambah Khairol, penduduk kini terpaksa menunggu dan hanya mampu berdoa kawasan itu tidak dinaiki air.
"Saya harap ada pihak membuka mata dan terbuka hati untuk membantu penduduk di kawasan ini kerana banjir bukan sahaja mengakibatkan kehilangan harta benda malah melibatkan nyawa," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram