SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) mempunyai kuasa menangguhkan proses pengundian di daerah terjejas sekiranya berlaku banjir.
Timbalan Ketua Pengarah Bahagian Pengurusan Pasca Bencana, Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), Datuk Khairul Shahril Idrus berkata, segala keputusan akan ditentukan SPR bergantung kepada situasi bencana tersebut.
"Sekiranya keadaan banjir itu menganggu proses pengundian, SPR boleh mengeluarkan arahan untuk menangguh proses itu.
"Namun, proses pengundian akan berjalan seperti biasa sekiranya air berada pada paras buku lali," katanya kepada Majoriti.
Tambah Khairul, pihaknya hanya terlibat menguruskan bencana berdasarkan arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) 20.
"Berdasarkan arahan tersebut, setiap agensi sama ada di peringkat Persekutuan, Negeri dan Daerah akan bertindak di bawah penyelarasan Nadma.
"Pegawai Daerah dengan sokongan agensi penyelamat seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Polis Diraja Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) akan berada di lapangan kerana mereka lebih mahir serta berpengalaman sekiranya berlaku banjir," jelasnya.
Datuk Khairul Shahril Idrus
Kata Khairul, sekiranya perlu, Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) yang akan diketuai Ketua Polis Daerah sebagai Komander operasi dibantu JBPM sebagai Timbalan Komander akan diaktifkan.
"Ia secara tidak langsung mewujudkan sistem rangkaian komunikasi yang efektif dalam menyalurkan maklumat kepada Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB).
"PKOB ini diaktifkan di pejabat daerah, pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri dan Pusat Kawalan Bencana Negara untuk menyalurkan maklumat dari semasa ke semasa," jelasnya.
Orang ramai dinasihatkan untuk bersiap siaga menghadapi segala kemungkinan ketika PRU15.
Dalam pada itu, semua pengundi dinasihatkan untuk bersiap siaga menghadapi segala kemungkinan tidak kira berada di kawasan berisiko atau sebaliknya.
"Orang ramai perlu sentiasa peka dengan keadaan semasa dan amaran dikeluarkan agensi berkaitan. Sentiasa mematuhi arahan pihak berkuasa dan berpindah sekiranya diarahkan.
"Bagi yang tinggal di kawasan rendah dan sering dinaiki air, adalah wajar untuk mereka bersiap sedia lebih awal dengan memastikan segala dokumen penting disimpan di tempat yang selamat," katanya.
SPR menetapkan 19 November 2022 sebagai hari pengundian bagi PRU15 dan tempoh berkempen selama 14 hari.
Sementara itu, tarikh penamaan calon dan pengundian awal masing-masing ditetapkan pada 5 dan 15 November 2022.— Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram