JABATAN Imigresen akan menguatkuasakan pemeriksaan kawalan keluar dan masuk bagi semua pergerakan pelawat antara Labuan dan Sabah bermula 1 November 2022.
Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, penguatkuasaan pemeriksaan ini adalah selaras dengan keperluan untuk meningkatkan aspek keselamatan dan kawalan sempadan di Sabah.
Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud
"Pada masa ini, pemeriksaan hanya dijalankan secara rawak bagi pergerakan keluar masuk pelawat antara Labuan dan Sabah.
"Pada 10 September lalu, Menteri Dalam Negeri semasa rawatan rasmi ke Labuan telah mengarahkan Imigresen melaksanakan penguatkuasaan yang lebih ketat di Terminal Feri Antarabangsa Labuan dan Terminal Feri Labuan ke Sabah.
"Arahan yang dikeluarkan adalah selaras dengan permintaan Kerajaan Negeri Sabah sendiri supaya pemeriksaan dilaksanakan ke atas pelawat," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Tambah Khairul, pemeriksaan keluar dan masuk dari Labuan ke Jeti Jesselton Point dan Jeti Tanjung Pagar, Sabah akan diadakan di Terminal Feri Antarabangsa Labuan.
"Bagi pemeriksaan masuk pelawat dari Labuan ke Jeti Menumbok, Sabah pula akan diadakan di Jeti RO-RO Labuan dan Terminal Feri Antarabangsa Labuan manakala pergerakan keluar pelawat dari Jeti Menumbok, Sabah ke Labuan akan diadakan di Jeti Menumbok, Sabah.
Pemeriksaan akan dilaksanakan di beberapa jeti di Labuan dan Sabah.
"Melalui pemeriksaan yang akan dilaksanakan, semua kategori pelawat akan menjalani pemeriksaan Imigresen untuk keluar dan masuk antara Labuan dan Sabah.
"Pelawat yang disekat masuk atau keluar dengan arahan dari Pihak Berkuasa Negeri Sabah perlu memohon Surat Kemudahan Pelepasan bagi tujuan pergerakan.
"Bagaimanapun, beberapa pengecualian akan diberikan khususnya kepada warganegara yang menetap di Labuan dan berulang-alik ke Sabah untuk tujuan bekerja," jelasnya.— Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram