PARTI Bangsa Malaysia (PBM) pada Jumaat mengumumkan senarai penuh bakal calonnya yang akan bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), dengan mempertaruhkan tujuh kerusi Parlimen dan dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, selain beliau yang akan mempertahankan kerusi Parlimen Ampang (Selangor), Presiden PBM, Datuk Larry Sng juga disenaraikan sebagai calon untuk bertanding bagi kerusi Parlimen Julau di Sarawak.
Zuraida yang digelar ‘Ibu Bangsa Malaysia’ oleh PBM, turut mengumumkan Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Dr Santhara Kumar bertanding bagi kerusi Parlimen Segamat di Johor.
"Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lembah Jaya, Haniza Talha akan bertanding bagi kerusi Parlimen Hulu Selangor dan yang terkini Adun Sementa, Dr. Daroyah Alwi sebagai calon bagi kerusi Parlimen Kapar (Selangor)," katanya pada sidang media Penyerahan Watikah Pencalonan Parlimen Kapar PBM, yang disiarkan secara langsung menerusi Facebook parti itu pada Jumaat.
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi itu juga mengumumkan dua ahli perniagaan akan bertanding pada PRU15 mewakili PBM, iaitu Dayang Rusimah @ Raynie Mohd Din dan Alus Kassim, masing-masing bagi kerusi Parlimen Labuan dan Segamat di Johor.
Bagi calon PBM peringkat DUN, Zuraida mengumumkan seorang anak muda berusia 25 tahun dengan kelulusan undang-undang, Bryan Yong Wu Sean, untuk bertanding kerusi DUN Tronoh, Perak manakala seorang ahli perniagaan, Nazmahwati Walli dicalonkan untuk kerusi DUN Bugaya, Sabah.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 19 November sebagai tarikh pengundian dengan 15 November sebagai pengundian awal, manakala hari penamaan calon akan berlangsung pada Sabtu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram