Pengundi gagal halang SPR adakan PRU15


Syed Iskandar mahu membatalkan keseluruhan proses yang membawa kepada pilihan raya umum diadakan dan mengembalikan semula Parlimen ke-14.

MAHKAMAH Rayuan Putrajaya pada Jumaat menolak permohonan seorang pengundi kawasan Parlimen Pandan untuk mendapatkan perintah injunksi, bagi menghalang Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) daripada mengadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sementara menunggu keputusan rayuannya.

Panel tiga hakim terdiri daripada Datuk Vazeer Alam Mydin Meera, Datuk M. Gunalan dan Datuk Seri Mariana Yahya, semasa menolak permohonan Syed Iskandar Syed Jaafar, memutuskan pemohon gagal mewujudkan keperluan di bawah Seksyen 44 Akta Mahkamah Kehakiman 1964 untuk mahkamah memberikan injunksi itu.

Beliau berkata, isu rayuan Syed Iskandar akan menjadi tidak bermakna tanpa injunksi itu tidak timbul kerana pendengaran rayuannya di Mahkamah Rayuan telah ditetapkan pada 14 November, iaitu lima hari sebelum hari pengundian yang ditetapkan SPR.

33b7987b-f85a-42a5-aa21-36589e326fd8

Panel hakim itu turut menolak permohonan Syed Iskandar untuk mendapatkan perintah penangguhan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 28 Oktober lepas, yang menolak permohonannya untuk memperoleh kebenaran bagi memulakan semakan kehakiman terhadap keputusan SPR mengadakan PRU15, sementara menunggu keputusan rayuannya.

"Tiada perintah atau penghakiman dibuat terhadap pemohon (Syed Iskandar) yang mengarahkan pemohon mahupun responden (Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, pengerusi SPR dan kerajaan) daripada mengambil sebarang tindakan," kata Vazeer Alam dan menambah bahawa tiada sebab bagi mahkamah untuk memberikan penangguhan.

Semasa menyampaikan keputusan mahkamah, hakim itu berkata, Syed Iskandar mahu membatalkan keseluruhan proses yang membawa kepada pilihan raya umum diadakan dan mengembalikan semula Parlimen ke-14.

"Pemohon cuba mencabar permohonan Perdana Menteri kepada Yang di-Pertuan Agong atas alasan ia tidak wajar di sisi undang-undang.

"Melalui permohonan itu, pemohon berusaha untuk membatalkan keputusan Yang di-Pertuan Agong yang membubarkan Parlimen dan menghentikan pilihan raya umum daripada diadakan," katanya.

Dalam notis usul, Syed Iskandar memohon injunksi untuk menghalang pengerusi SPR atau pekerja, wakil dan ejennya daripada mengadakan PRU15 dan mengekalkan status quo Parlimen.

Pada 28 Oktober lepas, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, menolak permohonan Syed Iskandar untuk kebenaran memulakan prosiding semakan kehakiman terhadap keputusan SPR mengadakan PRU15 selepas memutuskan pembubaran Parlimen tidak boleh diadili.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Ahmad Kamal Md Shahid berkata, permohonan Syed Iskandar adalah perkara dalam bidang eksklusif eksekutif atau badan perundangan dan tidak boleh dilayan oleh badan kehakiman.

Syed Iskandar memfailkan permohonan kebenaran untuk memulakan semakan kehakiman pada 14 Oktober lepas, menamakan pengerusi SPR, Ismail Sabri dan kerajaan sebagai responden.

Beliau memohon beberapa perintah mahkamah, termasuk pengisytiharan bahawa permohonan Ismail Sabri kepada Yang di-Pertuan Agong pada 9 Oktober lepas untuk pembubaran Parlimen adalah terbatal dan tidak sah.

Rayuannya, serta rayuan oleh penyandang kerusi Parlimen Klang, Charles Santiago, dijadualkan didengar oleh Mahkamah Rayuan pada 14 November.

Saman Santiago untuk menghalang SPR daripada menjalankan PRU15 telah ditolak oleh hakim Mahkamah Tinggi yang sama pada hari sama.

Dalam prosiding secara dalam talian pada Jumaat, Syed Iskandar diwakili peguam Datuk Seri Gopal Sri Ram, R. Kenghadaran, Yasmeen Soh Sha-Nisse dan Athanasia Yolanda, manakala Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan, Ahmad Hanir Hambaly@Arwi dan Peguam Persekutuan M. Kogilambigai bagi pihak responden. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram