STRATEGI menampilkan calon muda pada Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15) nampaknya digunakan sesetengah parti politik untuk menarik undi penyokong.
Namun, bukan semua pengundi mahu muka baharu, sebaliknya yakin dengan calon lama yang lebih berpengalaman.
Penganalisis politik, Dr Syed Agil Alsagoff berkata, penerimaan pengundi terhadap calon muda atau tua adalah bercampur-baur.
"Ada dalam kalangan pengundi yang merasakan perlu gandingan antara calon muda dan tua yang mewarnai arena politik tempatan.
"Secara positif, kemunculan calon-calon muda baharu dalam PRU15 membuktikan amalan demokrasi terpimpin dilaksanakan secara meluas dalam negara kita," katanya kepada Majoriti.
Menurut Dr Syed Agil, pertembungan antara dua golongan ini juga mampu memberi manfaat kepada rakyat kerana kedua-duanya boleh memberi kesan positif buat negara.
"Ini kerana, kehadiran dua generasi pemimpin membolehkan pengukuhan kemahiran, pengalaman pengurusan dan pengendalian pelaksanaan sistem politik dalam negara," katanya.
Namun kata Dr Syed Agil, keburukannya ialah jika kedua-dua gandingan ini tidak dapat merealisasikan kerjasama dengan baik, ia akan menimbulkan perbalahan.
Tambahnya, permusuhan dan budaya seperti ini tidak menguntungkan kelahiran pemimpin-peminpin politik muda pada hari ini dan akan datang. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram