[VIDEO] 'Rider' basikal melambung ke udara, nahas kena rempuh motor di Seri Kembangan


  • Tular
  • Sabtu, 22 Okt 2022

Tangkap layar menunjukkan seorang penunggang basikal terbaring di tengah jalan selepas dirempuh sebuah motosikal di Seri Kembangan.

SEORANG penunggang basikal tercampak selepas dirempuh sebuah motosikal yang bergerak laju di Jalan Putra Permai berhampiran Taman Equine, Seri Kembangan, Selangor pada Khamis.

Kejadian itu yang dirakamkan menerusi kamera dashcam pemandu, memaparkan tindakan penunggang basikal terbabit yang didakwa menyalahi undang-undang jalan raya dalam kejadian pukul 8 malam.

Dikongsikan di laman Facebook, video berdurasi 37 saat itu hangat diperkatakan netizen.

Ketika insiden, penunggang basikal itu dilihat menggunakan jalan raya sebagai laluan utama.

Tindakannya yang ingin menukar lorong di sebelah kiri akhirnya mengundang padah apabila sebuah motosikal yang bergerak laju tidak sempat menekan brek lalu merempuhnya sehingga tercampak.

Kemalangan itu sekali gus menimbulkan kekecohan di laluan tersebut apabila beberapa orang penunggang berhenti memberikan bantuan kepada mangsa.

Di ruangan komen, rata-rata netizen mengecam perbuatan penunggang basikal berkenaan kerana melanggar peraturan jalan raya.

“Dah tahu jalan raya bukan laluan untuk basikal tapi masih juga ada golongan kluster kayangan yang berdegil, bila dah kena langgar jangan salahkan orang la,” kata Pak Ya.

“Itu makan dia, sibuk nak berbasikal di tengah jalan, aku selalu nampak budak berbasikal langgar lampu merah dekat situ,” jelas Muhammad Maal Zainudin.

“Padahal dia dah toleh belakang, tapi masih nak melintas mungkin dia ingat motosikal itu akan tekan brek dan beri laluan kepada dia,” tambah Shazarul Salmi.

“Dia naik basikal macam bawa dekat taman rekreasi, tak sedar ke dia di laluan jalan raya orang semua nak balik kerja jalan pun sesak,” ujar Balqis Zainol.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A A Anbalagan berkata, pihaknya telah menerima laporan berkaitan insiden kemalangan itu pada pukul 3.47 petang Jumaat.

"Kita sedang mengesan penunggang motosikal tersebut, setakat ini dia belum membuat laporan polis," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Beliau berkata, kes tersebut diklasifikasikan sebagai Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalulintas Jalan 1959. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram