[VIDEO] 'Nampak segak tapi hati busuk', penjawat awam dirakam curi coklat di pasar raya


  • Benua
  • Khamis, 20 Okt 2022

Tangkap layar menunjukkan tindakan seorang lelaki beruniform yang sedang mencuri coklat di sebuah pasar raya.

TINDAKAN seorang lelaki beruniform yang merupakan penjawat awam dirakam mencuri di sebuah pasar raya di Indonesia menjadi bualan hangat netizen di media.

Kejadian itu yang dirakamkan menerusi kamera litar tertutup (CCTV), memaparkan taktik licik lelaki tersebut apabila dia mencuri beberapa keping coklat tanpa disedari juruwang di kaunter.

Berdasarkan pakaiannya, lelaki itu dipercayai merupakan seorang penjawat awam sebuah jabatan kerajaan.

Dikongsikan di laman Instagram, video terbabit menerima lebih 10,000 jumlah tontonan setakat ini.

Lelaki berkenaan terlebih dahulu beratur di hadapan kaunter untuk membuat bayaran, namun dia kemudiannya dilihat beralih ke posisi belakang bagi memberikan laluan kepada pengunjung lain di premis itu.

Ketika juruwang sedang sibuk melayan pelanggan, lelaki terbabit mula mempamerkan kelicikannya apabila mengambil beberapa keping coklat di kaunter.

Tidak diperhatikan oleh mana-mana pekerja ataupun orang lain, lelaki itu dilihat memasukkan coklat yang diambil ke dalam poketnya sebelum meluru keluar dengan pantas dari pasar raya berkenaan.

Di ruangan komen, rata-rata netizen mengecam perbuatan lelaki itu.

“Maka tidak hairanlah mengapa masih banyak korupsi berlaku, gaji pekerja awam nampaknya tidak cukup dan terlalu sikit untuk mereka membeli coklat,” kata jalmisigarantang.

“Pakaian sudah segak beruniform tetapi masih mahu mencuri, orang seperti ini memang berhati busuk sanggup makan makanan haram,” jelas perkakasjaya.

“Gaya nampak seperti seorang berwibawa, tapi mencuri coklat, tak cukup duit agaknya sampai sanggup buat seperti itu,” tambah surianingsihl.

Namun, jumlah kerugian dan lokasi sebenar kejadian itu tidak dapat dipastikan. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram