Jabatan Penjara nafi Najib Razak muncul dalam rakaman video


  • Massa
  • Selasa, 25 Okt 2022

Jabatan Penjara Malaysia menafikan dakwaan Najib terlibat dalam rakaman video ketika menjalani hukuman.

JABATAN Penjara Malaysia menafikan dakwaan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak muncul dalam rakaman video ketika menjalani hukuman di Penjara Kajang pada Selasa.

Jabatan Penjara Malaysia dalam kenyataan berkata, pihaknya menegaskan bahawa tiada apa-apa rakaman video yang melibatkan Najib dibuat oleh mana-mana agensi media di dalam penjara.

WhatsApp Image 2022-10-25 at 10.38.17 AM (2)

Tangkap layar rakaman video membabitkan Datuk Seri Najib yang tular di media sosial.

"Hasil semakan menunjukkan video tersebut telah dirakam lebih awal oleh Radio Televisyen Malaysia (RTM) sempena Kembara Keluarga Malaysia Episod 57 iaitu sebelum Datuk Seri Najib dipenjarakan.

"Video yang ditayangkan di TV1 pada 24 Oktober 2022 menceritakan tentang sejarah dan latar belakang Pekan, Pahang dan tidak berkaitan dengan politik.

"Orang ramai diminta untuk tidak menyebarkan maklumat tanpa semakan lanjut. Tindakan undang-undang boleh diambil ke atas individu yang tidak bertanggungjawab," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Terdahulu, tular sebuah video memapar Najib muncul dalam sebuah rancangan stesen televisyen pada Isnin.

Rakaman video tersebut menimbulkan tanda tanya netizen bagaimana rakaman boleh dilakukan ketika seseorang banduan sedang menjalani hukuman penjara.

Najib kini sedang menjalani hukuman di Penjara Kajang selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman 12 tahun penjara serta denda RM210 juta.

Bekas Perdana Menteri keenam itu didapati bersalah atas kesalahan pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd (SRC).— Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram