Tokan dadah ada 15 rekod jenayah dicekup bersama bahan terlarang bernilai hampir RM200,000 di Kg Baru


  • 112
  • Sabtu, 22 Okt 2022

Antara dadah yang dirampas dalam serbuan tersebut.

POLIS berjaya menahan seorang lelaki tempatan yang disyaki terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah di sebuah rumah di Jalan Sungai Baru, Kampung Baru, Kuala Lumpur pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, suspek merupakan seorang lelaki tempatan berusia 57 tahun yang bertindak sebagai penjaga di rumah berkenaan.

"Polis juga berjaya merampas pelbagai jenis dadah antaranya kanabis, syabu dan heroin yang dianggarkan bernilai RM190,200 untuk dipasarkan di sekitar ibu negara.

"Semakan mendapati, suspek mempunyai 15 rekod jenayah berkaitan dadah dan pernah ditahan di bawah Seksyen 6(1) Langkah-Langkah Pencegahan Khas," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

1764147

Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya.

Kata Dellhan, pihaknya masih menyiasat di mana suspek memperoleh bekalan dadah dan berapa lama terlibat dalam aktiviti tersebut.

"Polis bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi akan terus menjalankan siasatan dan risikan bagi mengenal pasti suspek lain yang terlibat.

"Suspek kini ditahan reman selama tujuh hari sehingga Jumaat depan untuk tindakan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 serta Seksyen 15(1)(a) akta yang sama," jelasnya.

Tambah Dellhan, orang ramai dinasihatkan supaya tidak terlibat dengan sebarang aktiviti pengedaran atau penggunaan dadah.— Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

polis, dadah, tokan, kg baru, lelaki, 15 rekod, jenayah