Elak terus terancam, 10 saranan NGO buat kerajaan pelihara dan pulihara kawasan hutan


  • Massa
  • Sabtu, 22 Okt 2022

Kawasan hutan harus dipelihara dan pulihara bagi meningkatkan ketahanan ekosistem yang semakin terancam. — Gambar hiasan

DALAM meniti arus kemodenan, hutan sering kali menjadi mangsa kerakusan manusia mengejar keuntungan tanpa memikirkan kesan kepada ekosistem alam.

Sekiranya perkara ini terus berlaku, generasi akan datang tidak berpeluang menikmati keindahan semula jadi yang terbentuk sejak ribuan tahun dahulu.

meor

Meor Razak Meor Abdul Rahman.

Pegawai Lapangan Sahabat Alam Malaysia (SAM), Meor Razak Meor Abdul Rahman berkata, terdapat beberapa saranan dan cadangan kepada pihak terlibat untuk memulihara kawasan hutan.

"Pihak Berkuasa Negeri boleh mengurangkan atau mengekalkan keluasan zon ladang monokultur bagi memastikan kawasan hutan dapat dijaga dengan baik selain memastikan tidak berlaku kerosakan lebih teruk.

"Selain itu, pihak terlibat juga harus menangani isu pencerobohan dan penerokaan haram dengan lebih tegas termasuk mengambil tindakan undang-undang sewajarnya," katanya kepada Majoriti.

hutan 2

Pembalakan tanpa kawalan antara salah satu faktor kemusnahan hutan.

Kata Meor, pelaksanaan pembangunan ladang monokultur boleh diusahakan di kawasan berstatus tanah kerajaan dan tanah terbiar seperti bekas lombong serta tanah pertanian yang tidak diusahakan.

"Dalam pada itu, pihak Berkuasa Negeri juga harus mempercepatkan pewartaan Hutan Simpan Kekal (HSK) bagi memastikan tiada pihak yang tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan mengaut keuntungan.

"Peruntukan undang-undang sedia ada harus dipinda untuk mengambil tindakan lebih berat. Pada masa sama, kawasan yang dikategorikan sebagai Kawasan Sensitif Alam Sekitar (KSAS) harus diwartakan sebagai kawasan perlindungan.

A parents carrying their children wade through flooded street   at Section 23  Shah Alam.(AZHAR MAHFOF/The Star)19/12/2021

Bencana alam mudah berlaku sekiranya hutan tidak dijaga.

"Pihak berkuasa Negeri juga boleh mengemukakan permohonan pampasan kepada Kerajaan Persekutuan kerana Kerajaan Negeri akan kekurangan hasil disebabkan tidak membenarkan kegiatan pembalakan di kawasan tertentu," jelasnya.

Tambah Meor, semua pihak harus memainkan peranan masing-masing dalam pemeliharaan dan pemuliharaan hutan di negara ini supaya generasi akan datang dapat hidup dengan alam semula jadi.

1647897

Lebih banyak nyawa terkorban dan harta benda akan musnah sekiranya kerap berlaku bencana alam.

"Tiada kerugian bersahabat dengan alam namun sekiranya kita memilih untuk terus membinasakan alam semula jadi, ia satu kerugian yang amat besar.

"Sudah banyak bencana alam berlaku di negara ini, bukti apakah yang perlu ditunjukkan, harta benda, nyawa sudah banyak terkorban. Sama-samalah kita menjaga ciptaan tuhan," jelasnya.— Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram