KEJAYAAN Sekolah Kebangsaan Proton City (SKPC), Tanjung Malim, Perak menjadi johan dalam Pertandingan Bahas Bahasa Melayu Ala Parlimen Peringkat Kebangsaan dua tahun berturut-turut mendapat pujian orang ramai.
Kisah tersebut dikongsi seorang guru dikenali sebagai Cikgu Khalil Zaini yang bertanggungjawab membimbing pasukan itu bersama beberapa orang guru di Facebook.
"Sebaik sahaja diumumkan sebagai Johan Kebangsaan pada tahun 2021, saya terus pesan dekat Cikgu Mustakim, dia kena sambung kerja-kerja mengintuisikan bahas di sekolah ini, pentadbir nak jadikan bahas sebagai kebitaraan sekolah.
"Sesi persekolahan 2022 bermula, tak sampai sebulan, Cikgu Mustakim datang jumpa saya terangkan jadual latihan bahas 'ala komando' sebelum meminta Cikgu Siti Anurizah mengenal pasti bakat murid di SKPC.
"Latihan dalam talian dimulakan, 'goyang'. Panggil pula bersemuka setiap hujung minggu, masih tak nampak jalan. Kami duduk berbincang bertiga, cari idea macam mana untuk capai matlamat setidak-tidaknya mewakili negeri Perak. Akhirnya, kami rangka strategi kamikaze, Alhamdulillah mula menampakkan jalan.
Murid dan guru yang terlibat dalam pertandingan bahas tersebut. — FB Khalil Zaini
"Peringkat Daerah Muallim, Perak dah dekat, seorang pembahas tarik diri sebab tak berani beri komitmen kerana jadual latihan yang padat. Saya cuba pujuk dia tapi gagal. Saya beri masa buat pilihan namun masih memilih untuk berundur, kami hormati keputusannya walupun sedikit terkilan," jelasnya.
Kata Khalil, pada bulan Ogos lalu, pasukan bahas SKPC berjaya melepasi halangan pertama di peringkat daerah.
"Misi utama untuk wakil negeri ke kebangsaan diteruskan, di sinilah kami diuji dengan drama-drama pembahas. Banyak akal, kuat main, tak serius, mainan air mata dan segala macam lagi ragam kanak-kanak yang tak kami hadapi tahun lepas.
"Jadi, kami cari lagi guru perempuan yang boleh menguruskan hal dalaman pembahas-pembahas ni untuk jadi penenang keadaan.
"Peringkat negeri dah dekat tapi diadakan secara dalam talian. Kami terlepas pandang untuk membiasakan diri pembahas dengan komputer. Tekanan mula menggelegak," katanya.
Aksi murid SKPC dalam Pertandingan Bahas Bahasa Melayu Ala Parlimen Peringkat Kebangsaan. — FB Khalil Zaini
Tambah Khalil, persediaan pasukan SKPC ke peringkat kebangsaan sedikit terencat dengan jadual program sekolah yang padat.
"Masa berbaki dua minggu, usul tak dapat dihadam lagi sepenuhnya. Macam tahun sudah, kami gunakan talian hayat untuk mendapatkan sokongan dan sumbangan pelbagai pihak.
Murid SKPC yang terlibat dalam pertandingan tersebut.— FB Khalil Zaini
"Alhamdulillah, Perak dinobatkan sebagai Johan Pertandingan Bahas Bahasa Melayu Ala Parlimen Peringkat Kebangsaan 2022. Datang dengan status juara bertahan, kami pulang dengan status yang sama.
"Tahniah dan terima kasih untuk semua yang terlibat dalam penciptaan memori indah pasukan Bahas Bahasa Melayu Ala Parlimen SKPC pada tahun ini. ‘Hatrik?’ tanya saya sendiri," jelasnya.— Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram