KEGIATAN jenayah buli melibatkan pelajar sekolah dilihat masih berleluasa dan tidak berkesudahan.
Selalunya perkara tersebut melibatkan pelajar senior ‘menghentam’ junior dengan alasan lebih dewasa, berkuasa atau tanda hormat.
Walhal tindakan tersebut merupakan perbuatan tidak bermoral dan meruntuhkan akhlak sekali gus mencerminkan kegagalan masyarakat membentuk generasi cemerlang.
Begitu juga dengan kejadian buli yang tular di media sosial apabila melibatkan sekumpulan pelajar lelaki menampar muka, menumbuk, menendang dan cuba mencampak mangsa ke tanah.
Menerusi rakaman berdurasi 55 saat itu, seorang pelajar dilihat cuba mempertahankan diri daripada dipukul, namun tidak membalas semula serangan yang diterima.
Rakaman video menunjukkan seorang pelajar dibuli oleh sekumpulan lagi pelajar lain.
Beberapa pelajar kemudian menampar dan menumbuk pipi serta menendang belakang badan mangsa.
Disebabkan tumbukan dan tamparan itu, mangsa kemudian menangis. Pada masa sama dalam rakaman itu terdengar suara mengatakan; “Janganlah budak kecil-kecil nangis-nangis. Afiq mau setel sahaja hal ini”.
Ada juga suara pelajar lain yang meminta agar kejadian itu tidak dirakam, namun difahamkan salah seorang rakan meminta agar perkara tersebut dirakam.
Nasib pelajar itu dan lokasi sebenar kejadian bagaimanapun belum diketahui. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram