Stres tak sudah, masalah lif rosak terus hantui penduduk Seri Perak


  • Massa
  • Sabtu, 22 Okt 2022

Warga emas, OKU dan ibu mengandung antara golongan paling terjejas kerana pergerakan terbatas untuk menaiki tangga..

KEMUDAHAN lif yang uzur dimamah usia dan sering rosak menyebabkan penduduk di Perumahan Awam Seri Perak, Bandar Baru Sentul, Kuala Lumpur mengalami kesukaran melakukan aktiviti harian.

Lebih parah apabila golongan warga emas, ibu mengandung dan orang kelainan upaya (OKU) terpaksa mengerah keringat menggunakan tangga untuk sampai ke kediaman masing-masing.

Salah seorang penduduk yang ingin dikenali sebagai Ibrahim berkata, perumahan awam ini mempunyai 17 tingkat dan hanya ada dua lif usang yang boleh digunakan.

WhatsApp Image 2022-10-22 at 3.07.05 PM

Masalah kerosakan lif sering berlaku sehingga menyukarkan penduduk.

"Perumahan awam ini mempunyai lebih 4,000 penduduk dan lif di kawasan ini sering rosak. Bayangkan bagaimana penduduk ingin turun naik melakukan aktiviti harian.

"Aduan termasuk laporan telah dibuat namun kejadian sama terus berulang. Saya sendiri telah membuat 15 kali aduan kepada pihak yang bertanggungjawab.

"Bayangkan bagaimana warga emas dan golongan OKU ingin ke rumah masing-masing. Rumah di kawasan ini bukan ada lima tingkat tapi 17 tingkat," katanya kepada Majoriti.

WhatsApp Image 2022-10-22 at 2.55.29 PM

Penduduk terpaksa menggunakan tangga untuk ke rumah masing-masing.

Tambah Ibrahim, masalah lif rosak sudah berlanjutan sejak lima bulan lalu dan pihak bertanggungjawab masih tidak dapat menyelesaikan kes ini.

"Lif ini bukan baharu tapi telah digunakan sejak tahun 1984 dan ia sudah terlalu usang untuk digunakan. Nyawa penduduk juga akan terancam sekiranya berlaku kejadian yang tidak diingini.

"Sebelum ini, pihak yang sepatutnya bertanggungjawab itu memberitahu ingin menukar lif yang baharu namun hanya membaiki dan menukar alat ganti sahaja.

WhatsApp Image 2022-10-22 at 3.19.20 PM

Butang lif tidak dapat digunakan kerana berlaku kerosakan.

"Kejadian lif rosak ini berlaku hampir setiap minggu dan ada saja penduduk yang terperangkap di dalam lif. Dua lif yang disediakan, satu sudah tidak boleh digunakan manakala satu lagi rosak.

"Pihak yang bertanggungjawab sila buka mata dan selesaikan masalah ini kerana bukan semua penduduk sihat ada yang berkerusi roda serta bertongkat," luahnya.

WhatsApp Image 2022-10-22 at 2.55.30 PM

Penduduk terpaksa menunggu hampir satu jam untuk menggunakan lif.

Sementara itu, seorang lagi penduduk yang ingin dikenali sebagai Azman berkata, mana-mana penduduk yang ingin menggunakan kemudahan lif perlu menunggu hampir satu jam.

"Saya yang berusia 50-an sendiri terpaksa menggunakan tangga untuk naik ke rumah di tingkat 10, rasa macam nak tercabut lutut.

"Penduduk yang ingin menggunakan lif perlu menekan butang dari dalam bagi membolehkan lif tersebut turun ke tingkat paling bawah kerana butang yang berada di luar telah rosak.

"Sekira berlaku kematian di tingkat 10 ke atas, adakah jenazah terpaksa dibawa turun menggunakan tangga?" soalnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram