[VIDEO] Anak dituduh curi mainan, bapa bengang pak guard biadab tengking depan pelanggan pasar raya di Terengganu


  • Tular
  • Khamis, 20 Okt 2022

Tangkap layar menunjukkan seorang kanak-kanak membeli mainan kereta dari sebuah mesin vendor di pusat beli belah KTTC, Kuala Terengganu, Terengganu.

SEORANG kanak-kanak dituduh mencuri selepas ditahan oleh pengawal keselamatan di sebuah pusat beli belah Kuala Terengganu City Centre, (KTTC), Kuala Terengganu, Terengganu.

Kejadian itu difahamkan berpunca selepas pengawal terbabit mendakwa mainan yang dibeli kanak-kanak itu tidak mempunyai tanda harga dari pusat beli belah berkenaan.

Tampil membalas tuduhan tersebut, bapa kepada kanak-kanak itu kemudiannya menjelaskan bahawa mainan berkenaan dibeli dari sebuah mesin vendor di tingkat satu.

Tanpa sebarang usul periksa, mereka kemudiannya terus ditahan dan dimarahi di pusat khidmat pelanggan pusat beli belah itu.

Memuat naik video di laman TikTok, kronologi kejadian itu menerima lebih satu juta tontonan dan hangat diperkatakan warganet.

Menurut bapa mangsa, ketika kejadian mereka sekeluarga terlebih dahulu mengunjungi pesta buku yang diadakan di tingkat bawah dan di situlah anaknya membeli mainan kereta itu.

“Sebelum memasuki premis berkenaan, saya dan anak singgah masuk ke pesta buku di tingkat bawah dan anak saya ada beli mainan kereta dari sebuah mesin vendor.

“Saya dah pesan jangan beli sebab takut orang tuduh mencuri bila masuk pusat beli belah nanti tetapi dia berdegil nak juga mainan itu menyebabkan saya ikutkan kehendaknya.

“Selepas memasuki ruang di tingkat atas, tiba-tiba disergah dan tengking anak saya dengan tuduhan mencuri.

“Muka anak saya dah pucat sebab ditengking, saya pun jelaskan yang mainan itu dibeli dari mesin bukannya dicuri tetapi pengawal tu masih tuduh bukan-bukan,” katanya.

Tambahnya, meskipun sudah menjelaskan di kaunter khidmat pelanggan, pengawal itu tetap berkeras dan enggan meminta maaf atas tuduhan dibuat.

Selain itu, si bapa turut mengatakan bahawa pengawal itu sangat biadab kerana tidak melakukan sebarang usul periksa sebelum membuat tuduhan.

“Saya tunjukkan yang mainan anak saya ada pelekat tanda harga dari pesta buku, selepas itu dia diam dan buat tak tahu.

“Langsung tak ada nak minta maaf ataupun mengaku bersalah, memang biadab pengawal itu, macam mana pihak (KTTC) boleh ambil pekerja macam ini,” jelasnya.

Namun, kejadian itu berakhir setakat itu sahaja apabila kedua-dua pihak tidak melaporkan isu berkenaan ke pihak polis. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram