SATU sindiket haram yang beroperasi di sekitar Bintulu, Sarawak semakin hangat diperkatakan warganet apabila mereka didakwa memperdaya golongan remaja untuk kegunaan sebuah gereja di Filipina.
Sindiket itu difahamkan sering mensasarkan golongan remaja untuk dipaksa menjadi pengemis, pemuzik jalanan ataupun penjual makanan ringan berhampiran kawasan bank.
Dikongsikan di laman Facebook, beberapa individu yang pernah menjadi mangsa penipuan sindiket itu merungkai segala kejahatan yang dilakukan.
Difahamkan, sindiket terbabit menggunakan modus operandi yang sama pada setiap mangsanya dengan menawarkan kelas muzik percuma bagi membiayai sebuah gereja di Filipina.
Pengasas ataupun dalang kepada sindiket itu, Pastor Apolli Carreon Quiboloy didakwa pernah menjadi buruan polis Amerika, (FBI) atas tuduhan memaksa golongan wanita melakukan hubungan seks.
Selain itu, ada pihak yang turut berkongsi cerita bahawa pihak keluarga mereka enggan kembali ke pangkuan selepas menyertai sindiket tersebut.
Mereka yang pernah menjadi mangsa penipuan itu dsyaki telah 'dicuci otak' oleh sindiket berkenaan yang sekali gus menyebabkan pengikut mereka bertambah ramai.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen mengecam perbuatan sindiket itu.
“Makin hari makin terbongkar kisah penipuan sindiket itu, harap pihak berkuasa ambil tindakan sebelum keadaan semakin parah,” kata Shin Evigan Grgina.
“Teruskan bongkar dan kasi heboh cerita ini, kita serang mereka ramai-ramai, buat malu agama sahaja,” jelas Luha Bunggom.
“Kawasan Bintulu ramai yang menjadi mangsa, lelaki dewasa dan remaja semuanya meminta sedekah dan menjual makanan ringan,” tambah Fileax Hazzel.
Majoriti sedang berusaha mendapatkan maklumat daripada pihak polis berhubung isu terbabit. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram