TINDAKAN sepasang suami isteri mencuri pencuci muka di sebuah pasar raya pada Rabu undang perhatian ramai apabila perbuatan mereka dirakam menerusi kamera litar tertutup (CCTV).
Kejadian itu yang berlaku di pasar raya CS Brothers Mutiara Heights, Kajang, Selangor dikongsikan di laman Facebook dan hangat diperkatakan netizen.
Pasangan dipercayai suami isteri itu terlebih dahulu mengambil beberapa pencuci muka di premis berkenaan namun situasi mula berubah apabila si suami mula memasukkan kesemua barangan yang diambil ke dalam beg yang dibawa.
Meskipun membawa seorang anak, mereka dilihat dengan mudah dapat melarikan kesemua barang yang diambil apabila beredar meninggalkan pasar raya itu tanpa dihalang pihak pengawal keselamatan atau petugas premis itu.
Turut mencuri perhatian apabila si isteri menari-nari kegembiraan didepan suami dan anaknya bagaikan meraikan tindakan licik gagal dihidu mana-mana pihak.
Difahamkan, pihak pengurusan pasar raya berkenaan belum membuat sebarang laporan polis namun berharap agar video yang dikongsi mampu memberi peringatan kepada orang ramai untuk lebih berjaga-jaga dengan pencuri terbabit.
Menerima lebih 60,000 jumlah tontonan di TikTok, netizen turut mengecam tindakan kedua pasangan tersebut.
“Nampak sangat memang ada niat mencuri, isteri pantau orang ramai, suami pula curi barang siap buat depan anak lagi,” kata Nora Paul620.
“Banyaknya ambil pencuci muka, mesti nak buat niaga ataupun jual secara atas talian, kesian anak tengok je ibu bapa buat benda bukan-bukan,” jelas Wattie.
“Terdesak sangat ke sampai nak mencuri, takkan tak tahu kamera (CCTV) ada dalam pasar raya itu, malu betul kalau video ini viral,” tambah user657134394291.
Setakat ini masih belum ada sebarang maklumat lanjut mengenai kes kecurian itu dan mereka difahamkan masih bebas di luar. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram