PRU15 tidak bebankan institusi kesihatan — Pakar


  • Massa
  • Jumaat, 21 Okt 2022

Mereka yang berisiko dengan jangkitan Covid-19 perlu kekal memakai pelitup muka apabila berada di tempat sesak serta terlibat dengan interaksi sosial khususnya ketika keluar mengundi pada PRU15.

SELEPAS tiga kali pertukaran kerajaan dalam tempoh kurang dari satu penggal, penduduk negara ini pastinya sudah tidak hairan untuk sekali lagi keluar mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Untuk yang tidak bersependapat dengan kerajaan diterajui oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri, mereka pastinya teruja untuk menyokong penuh pelaksanaan PRU15 pada November nanti.

Ia bertujuan memperoleh kerajaan baharu, di samping kestabilan politik selaras dengan mandat yang diberi rakyat menerusi sistem undi.

Namun, melihat kepada angka jangkitan harian Covid-19 yang masih mencecah lebih 2,000 kes ketika ini, segelintir pihak tentu khuathir jika jumlahnya semakin menular selain sukar dikawal selepas pilihan raya tersebut.

Meskipun berlaku kemungkinan peningkatan kes Covid-19 semasa musim kempen dan pelaksanaan PRU15 kelak, Dr Malina Osman berkata, ia tidak memberi kesan terhadap beban sistem perkhidmatan kesihatan negara.

41595678609_TBMalinaOsman

Dr Malina — Astro Awani

Hal ini kerana, Pakar Kesihatan Awam itu berkata, liputan vaksin dan pola keterukan penyakit tersebut dilihat semakin ringan.

Bagaimanapun, beliau berkata, mereka yang tergolong dalam kumpulan berisiko serta mempunyai komorbid perlu terus mengambil langkah berhati-hati, bagi mengelakkan kemungkinan dijangkiti penyakit tersebut.

“Meskipun pemakaian pelitup muka tidak diwajibkan, mereka yang berisiko perlu kekal memakai pelitup muka apabila berada di tempat sesak serta terlibat dengan interaksi sosial,” katanya kepada Majoriti.

Pada Khamis, jumlah jangkitan baharu Covid-19 direkodkan adalah sebanyak 2,561 kes, sekali gus menyaksikan jumlah keseluruhan sebanyak 4,875,131 kes sejak pandemik itu bermula.

Sementara itu, sebanyak lapan kematian dicatatkan pada hari sama, menyumbang kepada 36,437 kematian setakat ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram