Pusat, laluan khas pesakit Covid-19 buang undi PRU15


  • Primer
  • Jumaat, 14 Okt 2022

Khairy mencadangkan supaya pusat dan lorong khas mengundi disediakan untuk pesakit Covid-19 pada PRU15. — Bernama

KEMENTERIAN Kesihatan mencadangkan penyediaan lorong dan pusat mengundi berasingan untuk pesakit positif Covid-19 membuang undi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Menterinya, Khairy Jamaluddin berkata, perkara itu bagaimanapun bergantung kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Terdahulu, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah pada Khamis berkata, individu yang positif Covid-19 tetapi tidak dalam keadaan kritikal akan dibenarkan mengundi pada PRU15.

Bagaimanapun, kata Noor Hisham, mereka perlu mematuhi prosedur operasi standard yang ketat yang akan diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Dalam pada itu, Khairy berkata, beliau sedang menyediakan beberapa cadangan mengenai kesihatan untuk manifesto PRU15 Barisan Nasional.

"Sebagai Menteri Kesihatan, saya sedang menyediakan beberapa cadangan dan ia hampir selesai," katanya.

Katanya, cadangan itu akan dikemukakan kepada Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang bertanggungjawab bagi manifesto PRU15.

Mengenai kerusi PRU15, Khairy mengakui tidak berasa risau dan menyerahkannya kepada kepimpinan parti.

Khairy sebelum ini mengesahkan beliau tidak akan bertanding di Rembau, kerusi yang disandangnya sejak 2008.

Seremban, Alor Setar dan Kuala Pilah adalah beberapa kerusi yang berpotensi untuk Khairy.

Ini bagi memberi laluan kepada Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan, yang juga Ketua Umno Bahagian Rembau.

SPR dijadualkan bermesyuarat pada 20 Oktober ini untuk memutuskan tarikh dan persiapan PRU15. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram