Nafi gaji tertunggak, KDA FC dedah hal sebenar


  • Podium
  • Jumaat, 21 Okt 2022

KDA FC terpalit dengan pelbagai isu dan tuduhan tidak berasas sepanjang musim ini. — Facebook/Kedah Darul Aman FC

PENDEDAHAN bekas ketua jurulatih Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Aidil Sharin Sahak yang sebelum ini mengatakan dia pernah mengalami tunggakan gaji menarik perhatian peminat bola sepak tanah air.

Luahan yang dibuat menerusi akaun Instagram peribadinya itu mengatakan bahawa dia pernah tidak menerima bayaran selama lima bulan ketika mengendalikan skuad Sang Kenari.

Bagaimanapun, hantaran itu tidak dibuat dengan menyertakan tahun kejadian itu berlaku, sekali gus menimbulkan pelbagai keraguan daripada ramai pihak.

Menyedari perkara itu bakal merosakkan reputasi kelab, pihak pengurusan KDA FC menafikan perkara itu dengan mengeluarkan kenyataan menerusi laman media sosial rasmi mereka.

"KDA FC menafikan sekeras-kerasnya sejak penubuhan KDA FC pada tahun 2021, kelab pada mana-mana tempoh menghadapi isu tunggakan gaji sehingga lima bulan. Tiada tunggakan gaji kepada pasukan hingga ke hari ini," tulisnya.

Perkara itu berjaya membuka mata pelbagai pihak yang mengatakan isu kewangan pasukan menjejaskan prestasi dan menjadi punca utama kemerosotan kelab.

311568125_532496102045078_5061988823981323163_n

KDA FC menerusi satu kenyataan di laman rasmi Facebook mereka. — Facebook/Kedah Darul Aman FC

Selain itu, kenyataan itu juga menjelaskan bahawa penularan wabak Covid-19 pada awal 2020 menyaksikan pasukan Liga Malaysia bergelut dari segi pengurusan, termasuk KDA FC.

"Namun, fakta sebenarnya adalah pada musim 2020, apabila wabak Covid-19 melanda dunia, semua pasukan Liga Malaysia terkesan akibat tempoh Perintah Kawalan Pergerakan, di mana telah menjejaskan penajaan kelab.

"Ketika itu, pasukan Kedah di bawah pengurusan Persatuan Bolasepak Kedah Darul Aman mengalami isu tunggakan gaji selama lima bulan dan telah diselesaikan oleh pengurusan ketika itu," katanya.

Aidil sebelum ini ditamatkan kontraknya selepas saingan Liga Super melabuhkan tirainya dengan KDA FC menduduki tangga kelapan, satu rekod tercorot sejak kembali ke liga teratas domestik. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram