'Cekedis' antara punca sistem imun kanak-kanak lemah, terdedah Covid-19


  • Sihat
  • Ahad, 16 Okt 2022

Pada masa ini, tiada data saintifik menunjukkan bahawa kanak-kanak lebih terdedah kepada jangkitan selepas pandemik. — Agensi

SEPANJANG tempoh pandemik Covid-19, kanak-kanak kebanyakannya terkurung di rumah sekali gus menyebabkan mereka kurang terdedah kepada bakteria dan virus ‘biasa’ dan ia akan menyebabkan sistem imun si cilik berkembang dengan lemah.

Namun begitu, pada ketika ini tiada data saintifik menunjukkan bahawa kanak-kanak lebih terdedah kepada jangkitan selepas pandemik.

Mulai Mac lalu, kanak-kanak kembali ke sekolah dan menjalani aktiviti sukan. Ini menyebabkan ramai kanak-kanak mengalami influenza, penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) serta jangkitan paru-paru.

Mungkinkah benar bahawa kanak-kanak lebih terdedah kepada jangkitan selepas pandemik? Pensyarah Kanan Pediatrik, Dr Lim Yin Sear dan Pensyarah Tamu Pediatrik, Dr Mahfuzah Mohamed dari Pusat Pengajian Perubatan, Fakulti Sains Kesihatan dan Perubatan, Taylor’s University berkongsi tanda-tanda gangguan imun serta langkah pencegahannya.

TU_SOM_Dr Lim Yin Sear

Pensyarah Kanan Pediatrik, Dr Lim Yin Sear.

Sebenarnya, antara punca kanak-kanak mudah dijangkiti penyakit selepas wabak Covid-19 adalah kerana golongan itu mengambil lebih banyak diet tidak sihat seperti makanan ringan atau jajan ketika terkurung di rumah sepanjang pandemik.

Ia mungkin disebabkan oleh kekurangan akses mudah kepada makanan segar dan kekangan kewangan, yang membawa kepada obesiti dan kekurangan zat makanan pada kanak-kanak.

Selain itu, gaya hidup yang tidak aktif dan kurang bersenam boleh menyumbang kepada obesiti kanak-kanak, meningkatkan kerentanan kepada jangkitan.

Antara faktor lain menyebabkan gangguan imun di kalangan kanak-kanak ialah gangguan perkhidmatan kesihatan penting termasuk imunisasi kanak-kanak.

Imunisasi adalah amat penting untuk mencegah penyakit berjangkit tertentu. Selain itu, sesetengah kanak-kanak mungkin telah dijangkiti Covid-19 dan sedang mengalami sindrom 'Covid berpanjangan'.

TU_SOM_Dr Mahfuzah Mohamed

Pensyarah Tamu Pediatrik, Dr Mahfuzah Mohamed.

Pada masa sama, isu kesihatan mental kanak-kanak dan penjaga perlu diambil serius kerana ia boleh memudaratkan kesihatan mereka.

Kajian menunjukkan penderaan, cabaran rumah tangga dan pengabaian dihadapi kanak-kanak dan penjaga bukan sahaja menyebabkan masalah kesihatan mental lebih teruk, tetapi juga penyakit jantung, diabetes, paru-paru obstruktif kronik, penyakit hati dan kanser.

Dalam pada itu, ada sesetengah ibu bapa terlalu obses untuk mewujudkan persekitaran bebas kuman termasuk melarang anak-anak untuk bermain atau menyentuh apa-apa yang disyaki telah tercemar.

Terlalu melindungi kanak-kanak daripada kuman memudaratkan perkembangan mereka. Oleh itu, ia adalah penting untuk mengimbangi antara persekitaran yang bersih.

Sesetengah ibu bapa mungkin tertanya-tanya sama ada mencuci tangan atau sanitasi adalah cara yang lebih baik untuk mencegah penyebaran kuman. Kajian telah menunjukkan bahawa sabun dan air lebih lengkap untuk membuang lebih banyak kuman daripada tangan seseorang berbanding cecair pembasmi kuman (hand sanitiser).

Some countries around the world have started administering Covid-19 vaccine for all children as young as six months old. – AFP

Imunisasi adalah amat penting untuk mencegah penyakit berjangkit tertentu. — Agensi

Jika anda mengesyaki anak anda mengalami gangguan imun, anda dinasihatkan untuk mendapatkan nasihat profesional. Berikut adalah beberapa tanda kanak-kanak yang mengalami gangguan imun:

• Pneumonia yang kerap dan berulang, bronkitis, jangkitan sinus, jangkitan telinga, meningitis, atau jangkitan kulit

• Keradangan dan jangkitan organ dalaman

• Gangguan darah, seperti kiraan platelet rendah atau anemia

• Masalah penghadaman, seperti kekejangan, hilang selera makan, loya, dan cirit-birit

• Pertumbuhan dan perkembangan yang tertunda

• Gangguan autoimun, seperti lupus, arthritis rheumatoid, atau diabetes jenis 1

Mengambil peranaan sebagai ibu bapa, anda harus mengamalkan gaya hidup yang lebih sihat, bertindak sebagai teladan kepada anak-anak mereka. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram