Pernah menangis waktu hujan di plaza tol, 2 BFF tak pernah lupa susah senang usahakan Pulut & Kopi


Perniagaan yang dijalankan dua sahabat ini bermula untuk mencari duit lebih bagi menampung pembiayaan yuran pengajian mereka. — Facebook

BAGI dua sahabat ini, tidak pernah terlintas di fikiran untuk berkecimpung dalam bidang perniagaan, namun Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika Covid-19 melanda negara membuka lembaran baharu buat mereka.

Berkongsi kisah di sebalik Kopi & Pulut, Nor Fazrina Fazrin Hassan, 28, berkata, perniagaan berkonsepkan minimalis itu dijalankan bagi mencari duit lebih untuk menampung pembiayaan yuran pengajian ijazah sarjana di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam di Selangor.

Dia dan sahabatnya, Iffah Irdina, 27, ketika itu hanya bermula membuat perkhidmatan penghantaran (COD) pulut kuning dari rumah ke rumah.

218032558_354020306310738_5396327768216093521_n

Kedua-dua sahabat ini menjalankan perniagaan menjual pulut dan kopi untuk mencari duit membayar yuran kuliah mereka. — Facebook

"Waktu PKP tu saya kena buang kerja jadi saya dan Irdina sama-sama buat keputusan untuk sambung belajar, tapi kena usahakan something sebab nak bayar yuran.

"Kami pun jual pulut COD dari rumah ke rumah... ada tempahan kita buat dan hantar kepada pelanggan guna motor.

"Pernah sekali tu dalam perjalanan hujan lebat, kotak yang digunakan untuk bawa pulut sampai terjatuh sebab wayar yang diikat pada kotak tu tercabut dan masuk kat tayar.

"Waktu tu, kami sedih sampai menangis di Plaza Tol Batu 9, Lebuhraya Cheras-Kajang kerana memikirkan nasib," ceritanya mengimbau kembali perjalanan awal perniagaan mereka.

278176594_514245250288242_4247994621883924081_n

Hidangan pulut kuning yang menjadi menu utama di Pulut & Kopi. — Facebook

Fazrina berkata, dari situ, mereka mengusahakan gerai di tepi Jalan Anggerik Perdana 1, Kajang, Selangor berdekatan kediaman masing-masing dengan mengambil inspirasi gerai kopi jalanan di negara Jepun.

Ditambah kecenderungan kedua-dua gadis itu yang suka ‘memburu’ kopi di kafe-kafe ternama banyak membantu mereka dalam menjalankan perniagaan berkenaan.

Pelajar Ijazah Sarjana Seni Visual dan Media Baharu itu memberitahu, mereka mengambil masa kira-kira enam bulan untuk mendalami selok-belok perniagaan serta cara-cara menghasilkan kopi yang enak dari pakar kopi serta barista berpengalaman.

"Pulut kuning pula hasil air tangan mereka sendiri dengan dibantu oleh ibu masing-masing," tutur Fazrina sambil memberitahu, selepas kira-kira setahun beroperasi, mereka kemudian menggunakan modal RM2,000 hasil wang tabungan bagi membuka kafe di Taman Anggerik Perdana.

287691476_562684645444302_398305905548302790_n

Gerai ini mengambil inspirasi gerai kopi jalanan di negara Jepun. — Facebook

Tambah Fazrina, cabaran berniaga tepi jalan termasuklah terpaksa berhujan panas malah pernah menyaksikan kejadian kemalangan maut hingga menyebabkan mereka menghentikan operasi buat seketika.

"Waktu tu kami sedar inilah cabaran berniaga, jadi apa-apa halangan pun kena tempuh.

"Selain itu, saya sendiri pun mengakui awal-awal dulu rasa malu sebab saya jenis tak pandai bercakap, namun lepas berniaga kemahiran komunikasi bertambah baik.

"Kami tak tahu mana datang keberanian ni, pernah nak berputus asa juga tapi kami saling bagi sokongan dan dorongan pada satu sama lain untuk meneruskan perniagaan," katanya kepada Majoriti.

Sibuk dengan tanggungjawab sebagai usahawan sejak dua tahun lalu, Fazrina dan Irdina tidak pernah mengabaikan pelajaran mereka.

“Pada sebelah pagi kami mula berniaga sehingga lewat petang. Kemudian sebelah malam pula, kami akan menghadiri sesi kelas selama tiga jam.

“Selepas itu, kami bangun awal bagi menyediakan bahan-bahan untuk berniaga,” katanya.

309926554_633515898361176_8399738668832985449_n

Dari gerai tepi jalan, Fazrina (kiri) dan Irdina menggunakan wang tabungan untuk membuka kafe selepas setahun beroperasi. — Facebook

Kedua-dua gadis itu memasang impian untuk mengukuhkan jenama Pulut & Kopi memandangkan sambutan yang diterima daripada pelanggan amat memberangsangkan.

"Kami nak perniagaan ini dapat diteruskan untuk tempoh 20 ke 30 tahun akan datang," katanya.

Di Pulut & Kopi, pelanggan boleh menikmati pelbagai pilihan kopi seperti Americano, Latte, Gula Melaka Latte, Caramel Latte dan Salted Caramel Latte.

Hidangan makanan pula ialah pulut kuning yang boleh dipadankan dengan rendang daging hitam, rendang ayam kuning atau sambal ikan bilis petai selain nasi impit serta sambal kacang.

Biarpun ramai mengakui keenakan kopi dan pulut yang dijual, namun makanan tersebut dijual pada harga berpatutan iaitu antara RM3.50 hingga RM7 sahaja. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram