PENULARAN virus Covid-19 sekitar 2020 menjadi peralihan hidup kepada seorang pensyarah sambilan, Nurul Farah Shazleen Sarajuddin dalam mengharungi hari-harinya sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.
Pada masa sama, dia turut sedang melanjutkan pelajaran Ijazah Sarjana Rekaan Teknologi Universiti Teknologi Mara (UiTM).
Ketika itu, tempoh berkurung membuka lembaran baharu buat Nurul Farah, 26, sekali gus mematikan kebuntuan tentang perkara apa yang ingin dilakukan selain menguruskan tugasan hakiki sebagai tenaga pengajar dan pelajar.
Dalam pada membelek halaman media sosial, Nurul Farah akhirnya menemui aktiviti yang dapat mencurahkan minat, masa dan tenaganya.
Nurul Farah memilih untuk menjadikan pembuatan barangan perhiasan wanita seperti subang dan rantai yang diperbuat daripada bancuhan resin atau polimer.
Bermula sebagai hobi mengisi masa lapang, Nurul Farah kemudian melihat perkara itu mampu menjana pendapatan tambahan.
Acuan dan perhiasan yang digunakan untuk membuat perhiasan dan barangan cenderahati.
“Awalnya saya hanya memberikan kepada rakan-rakan dan ahli keluarga terdekat. Kemudian mereka menunjukkan minat dan bertanyakan bagaimana untuk mendapat perhiasan sebegitu.
“Setelah mendapatkan reaksi sebegitu, saya mula mendapat ilham untuk menjadikan perkara berkenaan untuk berniaga,” katanya kepada Majoriti.
Bermula dengan rantai, subang dan bekas simpanan gincu, kemudian Nurul Farah mula mengembangkan produknya kepada lapit gelas (coaster).
Reaksi positif pengguna terhadap jualan dalam talian di platform e-dagang secara tidak langsung membuatkan Nurul Farah optimis untuk mengembangkan hobinya itu ke peringkat yang lebih tinggi.
Perkara itu sekali gus dia membuka jenama Paopaortsy dan mendapat perhatian sehingga mampu menjana pendapatan sekitar RM2,000 hingga RM3,000 sebulan.
Patah semangat
Mengulas lanjut mengenai perniagaan yang bermula dengan minat itu, Nurul Farah memberitahu dia pernah terfikir untuk berhenti daripada terlibat dengan hobi menghasilkan perhiasan dan cenderahati daripada resin.
Tidak dinafikan, hatinya luluh mendapat kritikan dan pandangan negatif yang mengatakan minatnya itu tidak memberi faedah serta membuang masa.
“Waktu itu saya memang seperti sudah tawar hati sehingga nak jadikan hobi pun sudah tidak mahu. Namun, syukur sokongan suami dan keluarga membuatkan saya kembali bersemangat.
Proses pembuatan perhiasan daripada resin yang diletakkan ke dalam acuan.
“Saya mengambil masa sekitar empat hingga lima bulan untuk mewujudkan semula semangat dan kesungguhan bagi meneruskan hobi ini,” jelasnya.
Pada masa sama, Nurul Farah memberitahu, dia akan meluangkan masa di meja kerja penghasilan resin agar minatnya tidak lenyap.
“Saya akan bancuh resin itu biarpun masih tiada idea difikirkan. Setelah melihat bancuhan itu, saya akan berasa sayang untuk membuang dan akan terus buat apa sahaja mengikut acuan yang ada.
“Takut hilang minat, saya buat sahaja apa yang digemari asalkan diri berasa gembira dan pada masa sama mampu menjana pendapatan tambahan,” ujarnya.
Nurul Farah di meja pembuatan resin yang dahulunya hobi, tetapi sekarang sudah menjadi perniagaan perhiasan dan cenderahati.
Pembuatan
Meneruskan cerita mengenai minatnya itu, Nurul Farah memberitahu dia akan membancuh resin dan mencampurkannya dengan pewarna.
Kemudian dia akan memasukan perhiasan yang bersesuaian atau mengikut kehendak pelanggan.
“Lapit gelas yang boleh dihiasi dengan nama sendiri antara produk paling laris. Ada yang menjadikannya sebagai hadiah atau hantaran perkahwinan.
“Resin yang dibancuh akan dimasukkan ke dalam acuan dan dikeringkan menggunakan mesin khas selama 48 jam,” katanya.
Bercerita panjang lebar mengenai hobinya itu, Nurul Farah turut kongsikan tip bagaimana untuk menjana pendapatan dengan hobi:
Modal
Permodalan untuk membeli bahan asas seperti resin, acuan dan mesin pengering. Barangan tersebut boleh didapati pada harga berpatutan di laman e-dagang.
Ilmu
Sebaiknya belajar dan timba pengalaman terhadap perkara yang ingin kita lakukan. Pengalaman itu boleh didapati secara menonton video di YouTube atau menghadiri kelas.
Komuniti
Setelah apa yang dilakukan itu mendapat sambutan dan melihat potensi untuk menjadikannya sebagai perniagaan. Cuba kenal pasti komuniti atau kumpulan yang melakukan perniagaan atau bazar secara kecil-kecilan.
Sabar
Setiap apa yang dilakukan itu mempunyai cabaran dan halangan. Oleh itu jangan mudah menyerah kalah. Pandangan negatif individu sekeliling dijadikan sebagai pembakar semangat untuk buktikan jalan yang dipilih tidak salah. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram