CUACA buruk yang melanda di Gunung Kinabalu, Sabah pada Selasa telah mendatangkan kerisauan kepada pendaki.
Kejadian itu yang dikongsikan di laman TikTok, memaparkan situasi banjir apabila air kelihatan deras menuruni puncak gunung tersebut.
Menerima lebih 37,000 jumlah tontonan, situasi itu difahamkan telah menyebabkan akitiviti pendakian ditutup buat sementara waktu sehingga cuaca kembali cerah.
Pegawai Unit Komunikasi Korporat Taman-Taman Sabah (TTS), Mohd Rozan Dahlan berkata, pendaki tidak digalakkan untuk meneruskan aktiviti sekiranya hujan lebat melanda sehingga pukul 1 pagi.
“Hujan di puncak gunung dikhuatiri boleh menyebabkan kejadian banjir dan air deras yang menuruni bukit sememangnya berbahaya.
“Sekiranya hujan lebat, kami memang akan tutup aktiviti pendakian ke puncak gunung bagi mengelak daripada sebarang kejadian buruk di puncak gunung,” katanya kepada Majoriti.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen turut meluahkan kerisauan berhubung video tersebut.
“Tak pernah tengok Gununbg Kinabalu banjir selama ini, memang menakutkan kalau ada orang yang sedang mendaki,” kata Rismah4401.
“Ya ALLAH di tempat tinggi pun boleh banjir, semoga penduduk di sana dilindungi dan selamat daripada perkara buruk,” jelas Laila.
“Beberapa hari ini memang hujan lebat di Kota Kinabalu dari pukul 4.30 pagi sehingga 4.00 petang, jadi aktiviti pendakian patut diberhentikan untuk seketika,” tambah Adellynadell.
Namun, aktiviti pendakian akan dibuka semula sekiranya cuaca semakin baik dan setakat ini masih belum ada sebarang maklumat diumumkan oleh pihak Taman-Taman Sabah (TTS). — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram