[VIDEO] Cuba lari dari polis, penunggang 'makan jalan' sebelum rempuh penjual aiskrim di Sungai Dua


  • Tular
  • Sabtu, 15 Okt 2022

Tangkap layar menunjukkan seorang penunggang motosikal terbabas dan merempuh penjual ais krim di selekoh berhampiran Sungai Dua, Butterworth, Seberang Perai, Pulau Pinang.

TINDAKAN seorang penunggang motosikal yang disyaki lari daripada unit polis peronda mengundang padah apabila individu itu terbabas di selekoh tajam berhampiran Sungai Dua, Butterworth, Seberang Perai, Pulau Pinang pada Jumaat.

Menerusi video rakaman dashcam yang dikongsikan di laman Facebook, penunggang motosikal terbabit dilihat menunggang dengan laju sebelum berlanggar dengan seorang penjual ais krim di jalan tersebut.

Penjual aiskrim yang bergerak dari arah bertentangan itu dirempuh penunggang terbabit ketika di selekoh tajam laluan berkenaan.

Difahamkan, pelanggaran itu berpunca daripada tindakan penunggang itu yang dipercayai cuba melarikan diri daripada unit peronda tersebut apabila dua anggota penguat kuasa dilihat mengekori rapat lelaki berkenaan.

Sebaik pelanggaran itu berlaku, dua polis itu tersebut dilihat berhenti bagi memberikan bantuan kepada kedua-dua mereka.

Di ruangan komen, warganet mengecam tindakan penunggang terbabit yang dikatakan menyusahkan pemandu lain.

“Kasihan betul pak cik jual aiskrim tu, tak kira la bangsa apa sekali pun, tapi memang nasib lelaki tu tidak bertembung dengan lori kalau tidak lagi parah,” kata Adnan Rohida.

“Dah kena kejar dengan polis lagi nak larikan diri, lepas itu kemalangan dan membahayakan penunggang lain,” jelas Chow Chee Kong.

“Orang lain punya hal, pak cik jual aiskrim itu yang kena langgar jadi mangsa tak tentu pasal, menyusahkan orang betul,” tambah Amirul Azri.

Tiada sebarang kecederaan serius dilaporkan berlaku dan belum ada sebarang maklumat daripada pihak polis berkaitan isu kejadian. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram