[VIDEO] Merusuh di kelab malam, pemandu mabuk rempuh kereta di Bintulu


  • Tular
  • Isnin, 10 Okt 2022

Tangkap layar menunjukkan seorang suspek dipercayai mabuk bertindak merempuh beberapa buah kenderaan awam berhampiran kelab malam di Bintulu, Sarawak.

BEBERAPA buah kenderaan dilaporkan mengalami kerosakan akibat dilanggar pemandu mabuk dalam satu kejadian rusuhan yang berlaku di sebuah kelab malam di Bintulu, Sarawak pada Ahad.

Ketika kejadian, seorang pemandu kereta jenis Hilux berwarna hitam dilihat merempuh kenderaan lain di lokasi kejadian dari arah hadapan.

Insiden itu difahamkan berpunca daripada pergaduhan yang berlaku di sebuah kelab malam sebelum suspek kemudiannya menimbulkan kekecohan di luar premis berkenaan.

Dirakamkan menerusi perkongsian saksi di lokasi terbabit, video kejadian dimuat naik di laman media Facebook dan hangat diperkatakan netizen.

Berdasarkan video tersebut, orang ramai terlebih dahulu dilihat membaling botol dan memecahkan lampu kereta berkenaan ketika insiden tersebut.

Susulan kejadian itu, suspek kemudiannya mengundurkan kereta dengan laju dan merempuh kenderaan lain di lokasi terbabit.

Beberapa buah kenderaan dilaporkan mengalami kerosakan akibat pelanggaran itu dan orang ramai difahamkan telah membuat laporan polis berhubung isu tersebut.

Namun, suspek dilaporkan berjaya melarikan diri dan pihak polis sedang berusaha menjejaki pemandu berkenaan yang dikenali sebagai Rimong Anak Judan, 36, bagi membantu siasatan berkaitan kes rusuhan dan khianat.

Menurut polis Bintulu, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

Orang ramai yang mengenali atau mempunyai maklumat mengenai suspek diminta menghubungi bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Bintulu di talian 086-318304. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram