SEORANG wanita yang didakwa bertindak biadab terhadap seorang lelaki warga emas di Setapak, Kuala Lumpur pada Rabu akhirnya mendedahkan kisah sebenar.
Memuat naik video di laman TikTok peribadi, wanita berkenaan menceritakan kejadian sebenar yang terjadi bagi menjawab segala spekulasi orang ramai berhubung isu tersebut.
Video berdurasi dua minit itu sekaligus mengundang perhatian warganet berhubung isu tular yang berlaku sebelum ini.
Menurutnya, kejadian itu terjadi ketika kesesakan lalu lintas dan kenderaan warga emas itu yang berada di belakangnya mula melakukan provokasi apabila membunyikan hon kereta berulang kali tanpa sebab kukuh.
“Dia membunyikan hon berulang kali tanpa sebab dan saya mula hairan sebab jalan sesak sangat ketika itu.
“Jalan terlampau sesak dan tiada apa yang boleh saya lakukan, jadi saya hanya berdiam diri sebelum dia mula memintas laluan saya dan menghimpit sehingga terpaksa menghentikan kereta di tengah jalan.
“Sebaik saya keluar daripada kereta, dia mula memarahi dan memaki saya dan juga ibu yang berada di sebelah,” katanya.
Tambahnya lagi, insiden itu bertambah serius apabila lelaki terbabit mula bertindak kasar dengan menolak dan memukul kepala ibunya.
“Akibat terlampau marah, dia kemudiannya menolak saya dan yang paling menyakitkan hati bila dia pukul kepala ibu saya.
“Saya marah dan naik hantu sebab dia hempuk kepala mak saya, dan yang tahan saya dalam video itu adalah mak saya,” jelasnya.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, kejadian berpunca daripada perselisihan faham kerana tidak berpuas hati dengan cara pemanduan masing-masing.
“Kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 160 Kanun Keseksaan kerana pergaduhan dan kes masih di bawah siasatan polis,” katanya.
Sehubungan itu, pihak polis menasihati orang ramai agar sentiasa mengawal emosi dan bersabar jika berlaku perselisihan faham di jalan raya bagi mengelak berlakunya perkara yang menyalahi undang-undang. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram