Polis tumpas sindiket vape campur dadah di Lembah Klang


  • 112
  • Sabtu, 15 Okt 2022

Aktiviti memproses dan mengedar cecair vape mengandungi dadah ketamin itu dipercayai mula aktif sejak awal tahun ini. — Gambar hiasan/Agensi

POLIS menahan tujuh individu termasuk seorang wanita kerana disyaki terlibat dalam aktiviti memproses dan mengedar cecair vape mengandungi dadah ketamin, dalam serbuan berasing di Lembah Klang pada Khamis.

Setiausaha Polis Diraja Malaysia, Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata, enam lelaki warga tempatan dan seorang wanita warga Indonesia berusia 25 hingga 34 tahun itu ditahan antara pukul 7 malam hingga 10.50 malam.

"Kita merampas cecair ketamin (dalam perisa vape) sebanyak 104.16 liter, syabu seberat 27.56 gram dan 160 biji pil yaba yang dianggarkan bernilai RM3.44 juta," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Noorsiah berkata, sindiket itu dipercayai mula aktif sejak awal tahun ini.

Jelasnya, modus operandi sindiket itu adalah mencampurkan cecair ketamin ke dalam perisa vape dan menggunakan perkhidmatan kurier bagi mengedar dadah untuk pasaran tempatan.

Beliau berkata, tindakan sitaan dikenakan ke atas aset sindiket yang dianggarkan bernilai RM37,407.50 di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988.

Polis turut menyita sebuah kereta jenis Honda Civic, dua motosikal jenis Yamaha RX-Z dan WMoto, barang kemas serta wang tunai berjumlah RM2,530.

"Saringan awal yang dljalankan mendapati hanya lima suspek didapati positif dadah jenis methamphetamine, amphetamine dan benzo.

"Semakan rekod mendapati enam suspek mempunyai rekod kesalahan dadah dan jenayah mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram