SEORANG bayi lelaki berusia tiga bulan meninggal dunia dipercayai didera bapanya di Kampung Teluk Jawa, Padang Hang, Alor Setar, Kedah pada Isnin.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, pihaknya menerusi balai polis Kota Setar menerima panggilang berhubung kejadian itu pada 1.50 petang, Isnin.
Ahmad Shukri dalam kenyataan pada Rabu berkata, bertindak atas maklumat, bapa kandung mangsa ditahan di belakang sebuah rumah di Kampung Sungai Lintang Teluk Jawa.
Menurutnya, suspek mengaku memukul kepala dan menampar muka anaknya kerana bayi itu enggan minum susu selain kerap menangis.
Tambah Ahmad Shukri, mayat mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah untuk bedah siasat.
"Ujian air kencing terhadap suspek pula didapati positif dadah jenis methamphetamine dan suspek direman selama tujuh hari sehingga 17 Oktober depan untuk membantu siasatan," katanya.
Sementara itu, memetik laporan Bernama, Ketua Polis Kedah Datuk Wan Hassan Wan Ahmad berkata, suspek mempunyai lapan rekod jenayah lampau termasuk kes dadah.
"Kita percaya suspek telah terlibat dengan penagihan dadah ini sejak dua, tiga tahun lepas dan dia mempunyai lapan rekod jenayah lampau melibatkan kes dadah dan lain-lain,” katanya ketika diminta mengulas mengenai perkembangan kes penemuan mayat bayi itu.
Mengulas lanjut, Wan Hassan berkata, dua lagi anak suspek yang berusia satu dan lima yang dijaga ahli keluarga lain kini berada di bawah pengawasan polis serta sedang menjalani pemeriksaan kesihatan di Hospital Sultanah Bahiyah.
"Kita bimbang ada elemen gangguan seksual, sebab itu mereka dihantar ke hospital untuk pemeriksaan dan setakat ini masih belum dapat keputusan lagi.
"Bayi lelaki itu maut dipercayai akibat kecederaan di bahagian kepala disebabkan oleh hentakan benda tumpul.
"Dipercayai terdapat kamera litar tertutup (CCTV) di dalam rumah suspek, sekiranya benar polis akan buat rampasan bagi membantu siasatan kes,” katanya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram