Anak bini pernah jadi tebusan, lelaki psiko separuh bogel berpistol buat hal lagi


  • Benua
  • Rabu, 12 Okt 2022

Tangkap layar rakaman kejadian seorang lelaki memecahkan cermin kereta jirannya dalam kejadian pada Isnin lalu. — Agensi

PENDUDUK di sebuah kawasan kediaman gempar selepas seorang lelaki bertindak ganas memecahkan cermin kereta jirannya dengan pistol.

Tindakan lelaki itu dapat dirakam televisyen litar tertutup (CCTV) sebelum perbuatannya dilaporkan kepada polis.

Menurut laporan Thaiger.com, suspek, Jeerasak Khaosook, 38, menggunakan pistol untuk memecahkan cermin hadapan kereta jirannya dalam kejadian pada Isnin (9 Oktober) di Bang Bua Thong di wilayah Nonthaburi berhampiran Bangkok, Thaiand.

Perbuatan itu mengakibatkan dia mengalami luka hingga tangannya berlumuran darah.

Seorang saksi kejadian, Krailerk melaporkan kejadian itu ke Balai Polis Bang Bua Thong sebelum dia ditangkap dan dikenakan hukuman jel selama sebulan.

Krailerk berkata, dia tidak tahu rupanya suspek sering bertindak di luar kawalan hingga menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan jiran-jiran.

Bahkan, suspek dilaporkan pernah menjadikan isteri dan anaknya sebagai tebusan dalam kejadian enam tahun lalu. Jeerasak kini tinggal bersendirian selepas mereka meninggalkannya.

Seorang penduduk, Thanaporn, 39, berkata, Jeerasak selalu berkelakuan aneh kerana dia suka memeriksa pintu rumah jiran dan masuk ke rumah orang jika pintu tidak berkunci.

Jiran sebelah rumah Jeerasak yang mahu dikenali sebagai Ann berkata, lelaki itu sering membaling air ke rumahnya, meludah ke dinding dan membaling polibeg tanah ke dalam rumahnya.

Walaupun sudah dipenjarakan, jiran-jirannya tetap bimbang jika Jeerasak terus berkelakuan ganas sebaik keluar dari penjara.

Mereka mahu keluarga Jeerasak membawanya ke hospital untuk rawatan kerana percaya lelaki itu mungkin mengalami masalah mental atau di bawah pengaruh dadah. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram