[VIDEO] Hayun kerusi, 'royal rumble' antara aksi pergaduhan rebut kekasih


  • Tular
  • Isnin, 10 Okt 2022

Tangkap layar menunjukkan pergaduhan berlaku antara sekumpulan lelaki difahamkan berpunca daripada perebutan kekasih di Lahad Datu, Sabah.

PERGADUHAN sekumpulan lelaki di Lahad Datu, Sabah pada Ahad mengundang kecaman ramai susulan ia dipercayai berpunca daripada perebutan kekasih.

Kejadian itu yang dirakamkan salah seorang saksi, memaparkan pergelutan dan aksi pukul memukul oleh sekumpulan lelaki tersebut.

Melibatkan enam orang lelaki dan seorang perempuan, kecederaan ringan dilaporkan berlaku apabila ada di antara mereka yang menggunakan topi keledar sebagai senjata dalam pergaduhan.

Video berdurasi 1 minit itu dimuat naik di laman Facebook dan menerima kecaman daripada warganet.

Berdasarkan video tersebut, kesemua suspek terlibat dilihat saling bertumbuk dan bergelut satu sama lain di lokasi kejadian.

Meskipun disaksikan orang awam, kejadian itu semakin berlarutan dan tidak dihentikan oleh mana-mana pihak yang berada di situ.

Hasil siasatan polis Lahad Datu, Sabah, mendapati motif pergaduhan adalah disebabkan balas dendam berikutan perbalahan dan perebutan kekasih.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Rohan Shah Ahmad berkata, rakaman video tular itu disyaki berlaku di sebuah tapak pasar malam di Jalan Mawar, Lahad Datu.

“Bertindak atas kejadian itu, bahagian siasatan jenayah Polis Lahad Datu telah menjalankan siasatan dan seterusnya melancarkan Ops Cantas bagi mengenal pasti kesemua suspek terlibat dalam kejadian itu.

“Seramai enam orang lelaki dan seorang perempuan berusia antara 19 sehingga 28 tahun telah ditahan untuk membantu siasatan.

“Pihak polis juga telah merampas senjata topi keledar yang digunakan dalam pergaduhan terbabit," katanya.

Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh menggunakan senjata di tempat awam yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram