TERDAPAT kemungkinan berlaku kecuaian dan kekhilafan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad apabila Malaysia terlepas peluang memfailkan permohonan semakan terhadap kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, dua pasukan petugas khas telah membentangkan laporan siasatan ke atas dakwaan dalam buku bertajuk 'My Story: Justice In The Wilderness' tulisan bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas.
"Pasukan petugas khas turut membentangkan laporan semakan undang-undang kes kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah Dan Tubir Selatan dalam mesyuarat Jemaah Menteri pada 30 September 2022 dan 7 Oktober 2022.
"Pelbagai pendekatan telah dilaksanakan seperti meneliti, menyemak dokumentasi dan material berkaitan selain mengadakan perbincangan termasuk lawatan kerja, khidmat konsultasi bersama pakar perundangan dan juru hidrografi luar negara," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob
Tambah Ismail, susulan pembentangan tersebut, kerajaan telah bersetuju untuk menyahklasfikasikan dan mendedahkan laporan tersebut kepada umum.
Pada masa sama, jemaah menteri turut bersetuju dengan cadangan yang dikemukakan berhubung kes kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan.
"Cadangan tersebut antaranya meneruskan tindakan perundangan di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) berkaitan isu ini.
"Mesyuarat dimaklumkan terdapat kemungkinan kecuaian dan kekhilafan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad apabila Malaysia terlepas peluang untuk memfailkan permohonan semakan terhadap keputusan penghakiman ICJ pada tahun 2008 dan permintaan tafsiran Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan selepas beliau membuat keputusan untuk tidak meneruskan permohonan semakan dan pentafsiran penghakiman pada 11 Jun 2018.
"Mengambil tindakan sewajarnya bagi mempertahankan kedaulatan negara. Syor-syor hala tuju kerajaan dan penambahbaikan yang dicadangkan melalui kedua-dua laporan ini adalah bersifat telus, berkecuali dan inklusif dengan mempertimbangkan hasil analisa, penelitian serta pemerhatian Pasukan Petugas Khas," jelasnya.
Ismail Sabri memberitahu, pelaksanaan pasukan Petugas Khas secara keseluruhannya menjelaskan komitmen kerajaan untuk penyelesaian terbaik berkaitan perkara tersebut demi kesejahteraan Keluarga Malaysia.
Pada 23 Mei 2008, ICJ memutuskan Singapura mempunyai kedaulatan ke atas Pulau Batu Puteh manakala Malaysia memiliki Batuan Tengah (Middle Rocks) dan Tubir Selatan (South Ledge) pula menjadi milik negara di perairan di mana pulau itu terletak.
Pulau Batu Puteh yang terletak di Selat Singapura itu berhampiran Batuan Tengah dan Tubir Selatan serta mempunyai keluasan sebesar padang bola sepak.— Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram