Usah perjudikan nasib rakyat demi kepentingan parti politik — Pakar


  • Massa
  • Khamis, 13 Okt 2022

Semua pihak dicadangkan untuk mencapai kebersamaan bagi membolehkan PRU berjalan dengan lancar.

PENDIRIAN beberapa buah negeri mengambil keputusan untuk tidak membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) disifatkan sebagai tiada semangat federalisme.

Penganalisis politik, Dr. Mohammad Tawfik Yaakub berpandangan, semangat federalisme di peringkat negeri dan persekutuan telah terhakis kerana tiada kesefahaman untuk membubarkan DUN.

"Saya berpendapat semua pihak harus mengetepikan perbezaan fahaman politik untuk memudahkan proses Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) dapat berjalan dengan lancar.

"Sekiranya pembubaran DUN tidak dapat dilakukan secara serentak terdapat kemungkinan rakyat perlu mengundi sebanyak dua kali di peringkat Parlimen dan DUN.

"Ini secara tidak langsung menyukarkan rakyat untuk keluar mengundi ditambah dengan Monsun Timur Laut yang diramalkan berlaku pada November hingga Mac tahun depan," katanya pada Majoriti.

WhatsApp Image 2022-10-13 at 5.15.45 PM

Dr. Mohammad Tawfik Yaakub — Sinar Harian

Kata Mohammad Tawfik, peratusan keluar mengundi juga dijangka rendah sekiranya rakyat terpaksa mengundi sebanyak dua kali yang akan merencatkan perjalanan PRU.

"Perbincangan di peringkat persekutuan dan negeri harus dilakukan bagi mencapai kebersamaan bagi memudahkan rakyat menjalankan tanggungjawab untuk mengundi.

"Pada masa sama, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) boleh melakukan persediaan untuk memastikan proses PRU dapat berjalan dengan lancar," jelasnya.

Tambah Mohammad Tawfik, tiada peruntukan dalam perlembagaan atau undang-undang yang boleh menyebabkan sesebuah kerajaan terbatal atau tidak berfungsi kerana tidak melakukan pembubaran.

"Perkara ini melibatkan kuasa Menteri Besar untuk menasihati Sultan atau Raja di negeri-negeri tersebut untuk diperkenan atau sebaliknya.

"Pentadbiran sesebuah negeri akan berjalan seperti biasa namun akan menimbulkan impak negatif kepada rakyat di negeri tersebut," jelasnya.

spr 1

Peratusan keluar mengundi dijangka rendah sekiranya rakyat terpaksa mengundi sebanyak dua kali.

Kata Mohammad Tawfik, kehendak rakyat tidak harus diketepikan dan segala keputusan harus berpaksikan kebersamaan bukan memperjudikan nasib rakyat untuk kepentingan parti politik.

Terdahulu, PAS mengekalkan pendirian untuk tidak membubarkan DUN di bawah pentadbirannya melibatkan Kelantan, Terengganu dan Kedah.

Pendirian tersebut turut melibatkan negeri di Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan manakala Pahang, Perlis serta Perak akan membubarkan DUN, namun tiada pengumuman rasmi dikeluarkan lagi.

Bagi negeri Sarawak, Sabah, Melaka dan Johor tidak akan berlakunya pembubaran DUN disebabkan tempoh Pilihan Raya Negeri (PRN) belum melebihi setahun. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram